KANGAR: Harga daun ketum khususnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini yang mencecah antara RM150 sehingga RM180 sekilogram di Thailand, mendorong penyeludup sanggup melakukan apa sahaja bagi membawa keluar barangan terlarang tersebut dengan jalan laut di Kuala Perlis menjadi antara tumpuan aktiviti itu.
Difahamkan, antara modus operandi terbaharu penyeludup adalah dengan menggunakan bot nelayan tempatan yang diambil secara senyap-senyap sebelum mereka mengambil daun ketum yang ditinggalkan di tepi muara kuala di kawasan perairan, di sini.
Malah, penyeludup juga dikatakan mengupah segelintir nelayan tempatan sehingga RM3,000 sebulan bagi memerhatikan pergerakan pihak berkuasa seterusnya melaporkan kepada ‘tauke’ masing-masing.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) beberapa kali menerima aduan daripada nelayan yang memaklumkan bot mereka digunakan sehingga rosak dan kotor oleh penyeludup terbabit sebelum ditinggalkan kembali di lokasi di mana bot berkenaan diambil dalam keadaan minyak sudah habis.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing memberitahu, kebelakangan ini, penyeludup menggunakan modus operandi baharu meninggalkan daun ketum di muara-muara kuala yang terletak beberapa meter sahaja dengan jalan sebelum diambil individu lain menggunakan bot.
Katanya, antara lokasi tumpuan adalah seperti pengkalan Tok Kuning yang mana mereka menggunakan bot-bot nelayan untuk melakukan aktiviti terlarang tersebut.
Jarak antara muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand hanya kira-kira 1.3 batu nautika dengan perjalanan pula sekitar 10 hingga 15 minit.
Malah, katanya, ada dalam kalangan nelayan tempatan memainkan peranan memerhatikan pergerakan pihak berkuasa dengan ada yang dibayar secara harian dan bulanan sehingga mencecah RM3,000.
“Trend terbaharu ketika ini, mereka (penyeludup) mengambil bot-bot nelayan di pengkalan-pengkalan seterusnya mengutip daun yang sudah ditinggalkan di lokasi-lokasi tertentu di muara kuala.
“Lokasi seperti itu dilihat lebih mudah untuk mereka melarikan diri jika dikesan pihak berkuasa kerana kawasannya terletak berhampiran jalan raya. Malah, sepanjang PKP, aktiviti penyeludupan khususnya di jalan laut semakin aktif berikutan harga ketum yang mahal di negara jiran,” katanya ketika ditemui selepas membawa petugas media melakukan rondaan di lokasi-lokasi panas penyeludupan di perairan Kuala Perlis, di sini semalam.
Katanya, sepanjang tempoh PKP, aktiviti penyeludupan di laut amat ketara selepas mereka sukar melalukan aktiviti tersebut melalui laluan darat berikutan kawalan ketat.
Sementara itu, Maritim Malaysia yang membawa media melakukan rondaan di lokasi-lokasi panas penyeludupan di perairan negeri ini, semalam turut menemukan kira-kira 400 kilogram daun ketum yang ditinggalkan di atas batu di pesisiran laut kawasan Kurung Tengar di sini.
Rondaan dan pemantauan hampir dua jam itu turut meninjau lokasi-lokasi tumpuan penyeludupan seperti Tok Kuning, Kampung Wai, Kurung Tengar dan beberapa lokasi lain.
Mohd. Shafie berkata, hasil pemantauan bermula pukul 3 petang itu, dianggarkan sebanyak 400 kilogram daun ketum ditemukan dipercayai ditinggalkan untuk diambil oleh penyeludup dengan bot. – UTUSAN ONLINE











