PETALING JAYA: JLand Group Sdn. Bhd. (JLG) dan syarikat penyedia penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn. Bhd. (Gentari) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka penyelesaian tenaga boleh baharu (RE) dan menggiatkan pertumbuhan ekosistem mobiliti hijau di pelbagai projek JLG.
Menurut JLG, kerjasama itu akan meneroka potensi pembinaan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan penyelesaian RE bagi taman-taman perindustrian JLG.
Pada majlis itu, JLG diwakili Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur JCorp/Timbalan Pengerusi JLG, Datuk Sr. Akmal Ahmad dan Gentari diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sushil Purohit.
Majlis itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp/Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.
“Berdasarkan MoU yang ditandatangani, JLG dan Gentari akan melaksanakan kajian boleh laksana terhadap penyepaduan penyelesaian RE Gentari bagi aset dan taman perindustrian strategik di bawah JLG, manakala pelaksanaan ekosistem mobiliti hijau dalam projek yang dipilih JLG akan bermula pada suku ketiga 2023,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Akmal berkata, kerjasama itu menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha JLG melaksanakan inisiatif penyahkarbonan dan meningkatkan keupayaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Kata beliau, menerusi usaha sama dengan Gentari, JLG kini bersedia memenuhi komitmennya ke arah pertumbuhan lestari.
“Penggunaan meluas ekosistem mobiliti hijau dan RE yang meliputi pembangunan utama kami seperti Menara JLand, Komtar JBCC, B5 Johor Street Market (Pasar Batu 5), Ibrahim International Business District (IIBD)dan Bandar Datuk Onn (BDO), memperlihatkan keupayaan dan potensi kerjasama ini untuk menjana nilai, dengan mengambil kira bilangan pengguna akhir yang wujud di seluruh entiti operasi kami,” katanya.
Beliau berkata, dengan penggunaan penyelesaian RE dan infrastruktur mobiliti hijau di hartanah dan taman perindustrian JLG, syarikat mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau menerusi pendekatan berbilang industri.
Langkah ini katanya, amat penting terutamanya dengan kehadiran dan operasi meluas JLG di Negeri Johor, sambil berusaha meningkatkan kecekapan tenaga taman-taman perindustrian dan juga para penyewanya.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Gentari akan menyediakan kemudahan Kenderaan sebagai Perkhidmatan (VaaS) dalam bentuk perkhidmatan langganan pengangkutan hijau di pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian JLG, demi menggalakkan penggunaan EV.
Dengan memperkenalkan khidmat langganan kenderaan EV menerusi Gentari, JLG bertekad menggiatkan peralihan kepada EV menerusi pelaburan kos rendah. – UTUSAN










