Konflik Russia-Ukraine bentuk kestabilan Eropah?

Konflik Russia-Ukraine bentuk kestabilan Eropah?

VLADIMIR Putin tidak mungkin membiarkan mana-mana negara seperti Ukraine dikuasai Barat kerana ia akan membawa ancaman kepada masa depan politik dan keselamatan Russia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN besar berlaku dalam perkembangan politik dunia pada akhir 1980-an. Negara-negara komunis Eropah Timur runtuh satu demi satu, komunis hilang dalam peta dunia. Kesatuan Soviet berideologi komunis-sosialis secara rasminya runtuh pada akhir 1991. Warsaw Pact yang menjadi pengimbang kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga dibubarkan pada pertengahan 1991.

Politik dunia telah berubah daripada struktur bipolar kepada unipolar. Hanya Amerika Syarikat (AS) yang berkuasa dan tiada lagi pencabarnya, khususnya di benua Eropah. Pertembungan dua kuasa besar yang bermula akhir 1940-an (selepas Perang Dunia II) telah berakhir. Adakah dunia akan terus aman dan tidak ada lagi konflik berlaku?

Dalam kajian hubungan antarabangsa, dua pertembungan perspektif berlaku, iaitu liberalisme dan realisme. Dua perspektif utama hubungan antarabangsa ini mempunyai penafsiran yang jelas berbeza.

Profesor John Mearshiemer dari The University of Chicago menulis artikel bertajuk Back to the Future: Instability in Europe After the Cold War yang mengupas ketidakstabilan akan berlaku semula sebagaimana pernah terjadi dalam separuh pertama abad ke-20 (1900-1945). Konflik berlaku di benua Eropah secara berpanjangan sehinggalah terbentuknya struktur bipolar di benua Eropah pada 1945 hingga 1989.

Tempoh masa ini dilihat sebagai kemananan berpanjangan (Long Peace). Tiada konflik besar berlaku di benua Eropah, iaitu satu situasi politik dan kestabilan yang jauh berbeza dibandingkan tempoh masa 1900 hingga 1945. Kenapa keamanan berpanjangan ini boleh terbentuk?

Mengikut analisis, faktor keseimbangan kuasa bersifat bipolar yang menyumbang kepada kestabilan berpanjangan ini. Struktur bipolar dilihat paling stabil berbanding struktur politik lain. Ketidakstabilan pada 1900 hingga 1945 adalah dalam keadaan struktur dunia bersifat multipolar, iaitu banyak kuasa besar menguasai politik dunia (AS, Great Britain, Kesatuan Soviet, Jerman, Perancis, Jepun dan Itali). Runtuhnya kuasa besar utama selepas Perang Dunia II yang hanya didominasi dua kuasa iaitu AS dan Kesatuan Soviet membentuk dunia bersifat bipolar.

Tahun 1980-an dan awal 1990-an, struktur dunia berubah daripada bipolar kepada satu polariti baharu. Ramai menamakannya sebagai unipolar. Mearshiemer meramalkan dunia khususnya benua dan rantau Eropah akan kembali kepada kewujudan konflik. Ramai aliran bukan realisme menafikan pandangan Maershiemer ini.

Sesetengah sarjana aliran liberalisme menyatakan telah berahirnya zaman konflik, the end of the history. Demokrasi dan kapitalisme telah menang dan komunis-sosialis ditolak oleh masyarakat dunia. Negara bersifat demokrasi-kapitalis tidak akan berperang sesama negara demokrasi-kapitalis. Adakah pandangan ini tepat?

Dalam era Perang Dingin 1947-1989, faktor utama membawa kepada konflik AS-Kesatuan Soviet bukan kerana ideologi semata-mata. Profesor Hans Morgenthau menyatakan, ia kerana faktor kuasa. Ideologi itu adalah faktor bukan paling utama tetapi secara kebetulan sahaja. Adakah benar apa yang diutarakan oleh Mearshiemer dalam artikelnya pada 1990 itu?

BEBAS

Ternyata konflik berlaku semula antara kuasa-kuasa besar benua Eropah. Russia di bawah Vladimir Putin bangkit semula bagi membentuk kestabilan baharu. Konflik Russia-Ukraine adalah sebahagian daripada proses membentuk kestabilan benua Eropah. Kenapa peperangan yang bermula pada Februari 2022 tidak berakhir dengan mudah dan singkat? Apa pentingnya Ukraine bagi survival kuasa dan keselamatan Russia? Kenapa kuasa-kuasa Barat memberi sokongan besar kepada Ukraine dan tidak membenar terbentuknya sebuah negara Ukraine yang bebas? Kenapa Ukraine perlu menjadi anggota NATO?

Persoalan-persoalan ini mempunyai hubungan dengan persaingan dan percaturan kuasa di rantau Eropah, khususnya di Eropah Timur. Kenapa perluasan kuasa Barat perlu ke Ukraine? Kenapa tentangan hebat dilakukan oleh Russia? Kenapa tidak membiarkan sahaja Ukraine menjadi anggota NATO dan menjadi sekutu kuasa Barat?

Secara tradisi, Eropah Timur adalah rantau penting bagi keselamatan Russia. Kuasa-kuasa besar lain mesti dihalang daripada menguasai rantau ini. Pada awal 1990-an dan 2000-an, negara-negara Eropah Timur (bekas anggota Warsaw Pact) menjadi anggota NATO tanpa tentangan daripada Russia. Ini berlaku kerana kedudukan Russia agak lemah pada tahun-tahun awal berakhirnya Perang Dingin dan pegangan politik Presiden Boris Yeltsin.

Kebangkitan semula Rusia di bawah pimpinan Putin tidak mungkin membiarkan mana-mana negara (seperti Ukraine) dikuasai Barat. Kemasukan kuasa Barat dan arah pandangan dasar luar Ukraine yang memihak kepada Barat akan membawa ancaman kepada masa depan politik dan keselamatan Russia. Adalah tidak mungkin Russia akan menamatkan konflik dan keluar dari Ukraine (dengan andaian Ukraine memihak kepada Barat). Kemungkinan konflik akan berakhir boleh berlaku jika terbentuknya Ukraine yang ‘bebas’ dan tidak memihak kepada kuasa Barat.

Dengan struktur undang-undang antarabangsa yang ada, sukar untuk mencapai penyelesaian secara aman. Undang-undang antarabangsa yang ada tidak mampu untuk menyelesaikan konflik Russia-Ukraine. Undang-undang antarabangsa tidak bersifat really law tetapi pelaksanaannya lebih ditentukan oleh pengaruh kuasa besar utama.

Matlamat asas penububan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 1 dan Perkara 2 Piagam PBB amat sukar untuk dicapai. Prinsip collective security dan great power unity yang menjadi prinsip asas Piagam PBB yang ditubuhkan menjelang berakhirnya Perang Dunia II sudah tidak lagi dapat berjalan sempurna dan berkesan.

Andaian asas ketika penubuhan PBB telah jauh berbeza dengan apa yang berlaku pada akhir 1940-an lagi. Pembentukan dua kem utama dalam politik dunia telah menggagalkan matlamat asal PBB. Bab 6 Piagam PBB yang mendasarkan kepada penyelesaian konflik secara aman sudah amat sukar dilaksanakan. Pindaan yang dibolehkan seperti terkandung dalam Perkara 108 tidak mungkin dapat dilakukan dengan struktur kuasa politik yang ada sekarang.

Dunia dan politik antarabangsa bukan ditentukan oleh undang-undang antarabangsa tetapi lebih didominasi oleh kuasa dan faktor politik utama dunia. Undang-undang antarabangsa yang baik tidak pasti dapat menjamin keamanan kerana amalan dan pelaksanaanya ditentukan oleh kuasa politik utama dunia. Percaturan kuasa baharu dan penyusunan semula kuasa dunia adalah perlu bagi lebih menjamin kestabilan dan keselamatan dunia. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan di Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×