KUALA KANGSAR: Pengusaha kuih baulu di Kampung Guar, Manong di sini tidak menang tangan menyiapkan sehingga 10,000 biji kuih tradisional itu bagi memenuhi permintaan pelanggan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Rokiah Kulup Malodin, 62, berkata, permintaan tinggi terhadap kuih baulu yang dibakar menggunakan kayu api, pasir dan sabut kelapa itu menyebabkan dia terpaksa menutup tempahan seawal Ramadan.
Katanya, tempahan yang diterima bukan sahaja daripada penduduk setempat malah orang luar termasuk dari Sabah dan Sarawak.
“Baulu ini dibakar secara tradisional, jadi prosesnya agak rumit berbanding menggunakan ketuhar. Bagi menjaga kualiti, kita tidak ambil tempahan terlalu banyak.
“Baru-baru ini pun kita terpaksa tolak tempahan sebanyak 600 bekas baulu kerana bimbang tidak sempat untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Guar, Manong di sini, semalam.
Menurut Rokiah, dia menyiapkan tempahan baulu bermula minggu kedua Ramadan dengan dibantu dua anak perempuannya, Mazmona Laza Nazeri, 31, dan Zulaiha, 23.
“Membakar baulu secara tradisional memang memenatkan kerana ‘berdiang’ dengan api dari pagi hingga petang, tetapi hasilnya memuaskan apabila pelanggan beritahu sedap kerana ada bau asap.
“Di sinilah uniknya baulu yang dibuat apabila pelanggan masih mahu rasa asli baulu yang dibakar menggunakan sabut kelapa dan kayu api,” katanya. – UTUSAN











