TELUK INTAN: Kesukaran mendapatkan buluh lemang setiap kali hari raya mendorong seorang pesara di sini menanam pokok buluh itu di tanah kebun miliknya seluas tiga ekar.
Mula menanam kira-kira 30 perdu atau rumpun buluh lemang pada 2000, kini Mahmud Salikun, 77, mempunyai lebih 500 perdu buluh lemang dan sudah mendatangkan hasil.
Katanya, setiap kali menjelang sambutan hari raya, kebunnya yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Taman Melur di sini menjadi tumpuan pembuat lemang.
Katanya, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, dia dapat mengeluarkan lebih 5,000 batang buluh lemang dan untuk tahun ini, dia menganggarkan dapat menyediakan kira-kira 10,000 batang.
Katanya, tempahan untuk buluh lemang diterimanya sejak sebelum ketibaan Ramadan lagi.
“Setiap rumpun boleh menghasilkan antara 50 hingga 80 batang buluh dan dipotong mengikut kemahuan pembeli. Buluh yang dipotong oleh pembeli saya jual RM1.30 sebatang manakala yang potong sendiri, harga RM1.50 sebatang.” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, bagi memenuhi tempahan, dia dibantu isterinya, Naton Barhawi, 71, memotong pokok buluh seawal pukul 7 pagi.
“Alhamdulillah, usaha saya berbaloi apatah lagi permintaan terhadap buluh lemang sentiasa ada dan meningkat. Masuk minggu kedua kita berpuasa, tempahan buluh lemang telah melebihi 10,000 batang setakat ini,” katanya. – UTUSAN











