KUANTAN: Seramai 1,430 ahli Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) akan menerima agihan dividen bagi tahun 2022 sebanyak 55 peratus yang akan mula dibayar Khamis ini dengan jumlah keseluruhan RM30.4 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain dividen, Kosma turut membuat pembahagian keuntungan unit ladang berjumlah RM30.2 juta yang mana setiap unit akan memperoleh RM6,500.
Beliau berkata, berdasarkan perolehan atau hasil sektor perladangan untuk tahun 2022, Kosma mencapai hasil pendapatan berjumlah RM237 juta berbanding RM222 juta pada 2021.
“Keuntungan bersih Kosma pada 2022 berjumlah RM84 juta berbanding RM74 juta pada 2021. Keuntungan ini memberikan manfaat kepada 1,430 ahli koperasi ini.
“Oleh yang demikian, adalah dicadangkan bayaran dividen sebanyak 55 peratus akan dibayar kepada semua anggota yang layak pada tahun 2022.
“Bayaran ini melibatkan Bayaran Pendahuluan 10 peratus yang akan dibayar secara berperingkat bermula 13 April ini serta keuntungan Unit Ladang sebanyak RM6,500 seunit yang akan dibayar penuh mengikut unit dimiliki oleh ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pengumuman Dividen Kosma Tahun 2022 di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan van serbaguna kepada dua penerima iaitu Masjid Tepian Putra Kuantan dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maarif Kuantan manakala van jenazah pula diberikan kepada tiga penerima iaitu Masjid Al-Athar Felda Kesumba Jengka 9, Bandar Jengka, Masjid Al-Munir Kampung Selamat, Kuantan dan Masjid Al-Musta’in Billah Kampung Paya Luas, Kuala Krau. – UTUSAN










