MUNGKIN ramai kurang berpuas hati dengan strategi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan tindak-tanduk China berhubung tuntutan bertindih Laut China Selatan yang dianggap begitu agresif sejak kebelakangan ini.
Dalam sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat beberapa hari lalu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ada bertanya sama ada Perdana Menteri ada berbincang dengan pemimpin China mengenai keselamatan di rantau ini terutama kehadiran tentera China di Laut China Selatan. Perdana Menteri memperjelaskan, isu ini ada dibincangkan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang dalam lawatan ke Beijing beberapa hari lepas.
“Memang perkara ini dibangkitkan kerana terdapat tuntutan bertindih oleh kedua-dua pihak di Laut China Selatan, terutama kebimbangan China kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang dituntut China. Bagaimanapun, jika China rasa ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan,” jelas Anwar.
Aktiviti Petronas yang dimaksudkan Perdana Menteri itu besar kemungkinan Projek Gas Kasawari di luar pantai Sarawak dalam kawasan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia. Kebimbangan timbul kerana dilaporkan kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China PLA (Tentera Pembebasan Rakyat) seolah-olah mengawasi projek tersebut.
Kawasan projek tersebut adalah berhampiran dengan Beting Patinggi Ali yang bukan asing lagi sering diceroboh oleh kapal pengawal pantai PLA dan menghalau nelayan Sarawak yang sering berteduh di beting tersebut.
Timbul rasa tidak puas hati dan tiada keyakinan strategi Anwar ialah apabila beliau mengatakan sedia berunding dengan Beijing dalam perkara ini sedangkan tuntutan China terhadap Laut China Selatan tiada asas perundangan seperti diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada penghakiman 2016. Mungkin ada yang merasai strategi nota bantahan diplomatik dan berunding tidak akan memberi manfaat kepada Malaysia.
Tetapi hakikatnya jika diambil kira perbandingan strategi bermula dari Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seterusnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pendekatan Anwar mungkin tidak tersasar dari dasar sebelum ini tetapi sebenarnya ada nilai tambahnya.
Ambil contoh pada awal 2020 apabila kapal cari gali minyak, West Capella yang disewa Petronas menjalankan aktiviti penyelidikan di EEZ perairan Sarawak. Sepanjang sebulan lebih aktiviti West Capella itu sentiasa dibayangi oleh beberapa buah kapal pengawal pantai PLA.
Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir mengarahkan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berada berdekatan West Capella dan aktiviti cari gali diteruskan seperti biasa. Tiada bezanya dengan pendekatan Anwar kerana beliau juga mengarahkan beberapa kapal ronda misi pesisir (LMS) TLDM ke kawasan Projek Gas Kasawari.
Apabila Menteri Luar China, Wang Yi melakukan lawatan ke Kuala Lumpur pada Oktober 2020 dan sekali lagi pada Julai 2022, Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin dan Ismail Sabri tidak pernah menimbulkan isu West Capella ataupun tindakan agresif China di Laut China Selatan. Terutama sekali dalam EEZ Malaysia walaupun isu West Capella hampir mencetuskan konflik kerana Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghantar beberapa kapal perang kononnya untuk melindungi kedaulatan Malaysia.
Berbeza dengan Anwar, beliau secara spesifik menimbulkan isu Projek Gas Kasawari bukan sahaja dengan Qiang tetapi juga Jinping. Begitu jua Anwar secara terbuka dan tegas menyatakan hasrat supaya perbincangan mengenai Kod Tatacara (Code of Conduct) Laut China Selatan supaya penyelesaian dapat dicapai dengan segera walaupun telah berlarutan hampir dua dekad lamanya.
Anwar amat mengerti strategi terbaik berhadapan dengan China dalam hal Laut China Selatan adalah bukan melalui nota bantahan diplomatik atau pertembungan fizikal tetapi melalui perbincangan dengan Kod Tatacara menjadi sandaran. Ini kerana kod ini berlandaskan Konvensyen Perundangan Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982. Jika diambil kira keputusan ICJ 2016 yang merumuskan China tiada hak tuntutan Laut China Selatan, maka sebab itu jua Beijing cuba melengahkan kata putus penggunaan kod ini kerana penggunaannya tidak menyebelahi mereka.
Walaupun dari awal Malaysia menyatakan kebimbangan terhadap persefahaman pertahanan di antara AS, United Kingdom dan Australia (AUKUS) khusus untuk mengekang pengaruh China di rantau Indo-Pasifik, hakikatnya kehadiran AUKUS walaupun mampu mencetuskan ketegangan di Laut China Selatan, ia juga boleh dianggap sebagai pemangkin kekangan tindak-tanduk agresif China.
Tidak syak Anwar menghayati kebimbangan mengenai AUKUS tetapi dalam masa sama, ia mungkin boleh menjadi isyarat tersirat kepada Beijing. Sikap agresif mereka di Laut China Selatan mungkin boleh menjadikan AUKUS lebih relevan kepada Malaysia. Bukan sahaja AUKUS dalam radar Anwar, berkemungkinan jua Dialog Sekuriti Kuadrilateral (QUAD) melibatkan AS, India, Jepun dan Australia juga dalam pemerhatian. Ini kerana matlamat QUAD adalah selari dengan AUKUS. – UTUSAN
PENULIS iala geostrategis dan Felow Kanan Akademi Nusantara (NASR).










