KLUANG: Kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh 14 hari bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi apatah lagi hanya kerana berpunca daripada kesilapan pemakanan.
Malah, khabar duka yang dterima oleh Ng Ai Lee, 51, kira-kira pukul 6.30 pagi semalam dianggap sebagai satu mimpi kerana baru semalam bapanya, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, dalam keadaan sihat dan masih boleh mengenali serta berbual mesra.
Ujarnya, bapanya juga sempat bertanyakan tentang keadaan ibunya, namun dia terpaksa mengatakan sedang berehat di rumah kerana bimbang boleh menyebabkan pemikiran dan kesihatan terganggu.
“Memang tidak dinafikan bahawa kematian akan berlaku kepada semua, tapi apa yang menyentuh hati adalah puncanya daripada pemakanan yang secara asasnya tidak boleh dimakan,” katanya semalam.
Kuai Sin yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), di sini akibat keracunan selepas makan ikan buntal bersama isterinya pada bulan lalu, meninggal dunia semalam menjadikan dia mangsa kedua maut akibat memakan ikan buntal yang sama.
Pada 25 Mac lalu, isteri Kuai Sin, Lim Siew Guan, 83, maut selepas beberapa jam menikmati ikan buntal yang digoreng itu.
Menurut Ai Lee, ibu bapanya yang menetap di Kampung Chamek, Paloh, Kluang membeli ikan buntal itu daripada seorang peniaga secara dalam talian sebelum dihantar ke rumah pasangan itu.
Sehubungan itu, dia berharap Kementerian Kesihatan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menguatkuasakan Seksyen 13a Akta Makanan yang secara jelas melarang menjual atau menyediakan bahan makanan yang tidak sesuai dimakan oleh manusia.
“Untuk tidak menjadikan perkara serupa berlaku kepada keluarga atau orang lain, akta ini perlu dikuatkuasakan kerana kehilangan ahli keluarga seperti dihadapi saya amat berat untuk ditanggung.
“Kami juga menggesa Pejabat Kesihatan Daerah Kluang (PKD) dapat memberikan jawapan segera hasil siasatan mereka,” katanya. – UTUSAN











