Ambil guru ikut keperluan subjek

Ambil guru ikut keperluan subjek

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketetapan jumlah pengambilan guru sepatutnya berdasarkan keperluan mata pelajaran dan bukan sekadar mengisi kekosongan.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Sabri Arshad berkata, pengambilan guru yang bukan berlatarbelakangkan disiplin pendidikan dilihat masih diperlukan.

“Sekarang ini ada beberapa situasi, kalau kritikal sangat kita memerlukan tenaga pengajar, maka tidak dapat dielakkan kita mengambil guru yang mempunyai latar belakang selain pendidikan.

“Cadangan ini sudah sangat baik untuk menetapkan pengambilan guru tetapi mesti kita perlu lihat juga subjek-subjek yang paling memerlukannya. Tidak boleh nanti ada lambakan guru untuk subjek tertentu.

“Ini yang kita perlukan mereka yang tidak mempunyai latar belakang sama dan Kementerian Pendidikan boleh tetapkan kursus yang mereka perlu lengkapkan dalam enam bulan atau setahun,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, Kementerian Pendidikan perlu membuat ketetapan mengenai jumlah guru yang diperlukan dalam sistem pendidikan negara bagi mengelakkan pengambilan guru tergesa-gesa termasuk mengambil guru bukan disiplin pendidikan.

Katanya, pengambilan guru secara tergesa-gesa berlaku pada 2021, Kementerian Pendidikan mengumumkan pengambilan 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara one off.

Ia berulang pada awal bulan ini apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan pengambilan khas seramai 19,431 guru bagi menampung kekurangan tenaga pengajar.

Menurut Sabri, pengambilan guru haruslah bersandarkan kemampuan dan kebolehan guru-guru itu supaya tidak memberi kesan kepada sistem pendidikan negara.

“Pastikan mereka ini didaftar mengikut kebolehan. Mereka mestilah kuasai pelajaran yang akan diajar. Sekurang-kurangnya jika bukan dari disiplin pendidikan tetapi perlulah yang berkaitan.

“Kalau bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, sepatutnya dia memang belajar di universiti atau mempunyai kursus bahasa tersebut. Apabila mereka dipilih sebagai guru, maka jalankan kursus perguruan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×