PETALING JAYA: Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mendesak rejim Israel menghentikan serangan dan membebaskan segera penduduk Palestin yang ditahan dalam serbuan di Masjid al-Aqsa, Rabu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komuniti antarabangsa juga mesti menuntut rejim Israel menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan penduduk Palestin.
“Malaysia terus menyokong kuat dan bersolidariti bersama rakyat Palestin selain akan terus mengulangi pendirian bahawa status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam,” kata Anwar di Twitter semalam.
Pada Rabu lalu, media melaporkan, tentera Israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli di Masjid Al-Aqsa selepas solat Tarawih, melepaskan bom pegun dan memukul umat Islam serta menahan kira-kira 350 jemaah.
Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin, polis Israel mula membebaskan tahanan dengan syarat mereka dipindahkan dari Masjid Al-Aqsa dan Kota Lama Baitulmaqdis selama seminggu.
Bagi umat Islam, Al-Aqsa adalah tanah suci ketiga dalam Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, kawasan terletaknya Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967. Ia menggabungkan seluruh bandar pada 1980 dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. – UTUSAN










