Minyak masak: Anak Hamzah Zainuddin mengaku tidak bersalah

Minyak masak subsidi: Anak Hamzah Zainuddin mengaku tidak bersalah

MUHAMMAD Faisal Hamzah tiba di Mahkamah Sesyen Seremban semalam bagi didakwa atas sembilan pertuduhan berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi pada tahun lalu. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Anak kepada seorang bekas menteri dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, semalam atas sembilan pertuduhan berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi pada tahun lalu.

Muhammad Faisal Hamzah, 39, dan Azizul Abdul Halim, 55, yang pada ketika itu merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. membuat pengakuan berkenaan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didapati memberi maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun 2022.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 hendaklah disifatkan telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. iaitu pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak di mana kedua-duanya merupakan pengarah syarikat berkenaan juga didakwa memiliki barang kawalan berjadual tersebut melebihi had 50 metrik tan.

Mengikut Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ia merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan dilakukan di premis syarikat berkenaan yang terletak di Kawasan Industri Sinar Andalas, Se­nawang pada kira-kira pukul 11.15 malam pada 11 Ogos tahun lalu.

Syarikat berkenaan juga didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai dan kesalahan turut dilakukan pada 12 Ogos tahun lalu di Pejabat KPDN di Seremban 2 di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari KPDN iaitu Mohd. Sophian Zakaria dan Syazwani Zawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib.

Mohd. Sophian dalam hujahannya memohon mahkamah mengenakan jaminan yang tinggi kepada kedua-duanya mengambil kira kes melibatkan kepentingan awam iaitu minyak masak yang merupakan barang kawalan di negara ini.

“Semua maklum kerajaan pada hari ini amat memberi penekanan kepada makanan seperti minyak masak yang menjadi krisis dalam negara kita.

“Kes ini juga melibatkan syarikat dan ada kemungkinan dalam keadaan biasa syarikat dibubar jadi saya mohon satu jaminan yang tinggi untuk mengikat orang kena saman supaya hadir ke mahkamah,” katanya.

Mazni kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM40,000 kepada kedua-dua tertuduh dan mene­tapkan 7 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×