ALOR GAJAH: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, demikian nasib sebuah keluarga yang kehilangan rumah dan kereta selepas disita serta dilelong pihak bank.
Lebih malang apabila anak bongsu berusia tiga tahun yang menghidap sindrom down perlu menjalani pembedahan akibat masalah telinga di Hospital Melaka tidak lama lagi.
Ibu kanak-kanak itu, Nur Umi Adilah Adlan, 30, berkata, Muhd. Khalis Amsyar Ikhwan hidup penuh derita kerana mengalami usus bengkak sejak berumur tiga bulan.
Menurutnya, Muhd. Khalis Amsyar kini menderita sakit telinga hingga memaksa doktor mencadangkan satu pembedahan dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Keadaan hidup kami enam beranak dalam kekalutan, tambah pula menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Tambah pula suami saya diisytihar muflis apabila tidak mampu membayar pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah RM200,000 hingga kami kehilangan rumah di Tanah Merah, Krubong dan kereta terpaksa dilelong.
“Pinjaman ini dibuat oleh bapa mertua atas nama suami. Apabila perniagaan gagal segala hutang dipikul dan perlu dijelaskan oleh suami,” katanya ketika ditemui di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini.
Dakwanya, gaji suami yang bekerja di sebuah kilang disekat oleh bank kerana berstatus muflis.
“Anak bongsu saya memerlukan lampin pakai buang dan susu. Gaji suami pula disekat pihak bank hingga hilang punca pendapatan kami sekeluarga,” ujarnya.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0499541100091793 atas nama Nur Umi Adilah Adlan. – UTUSAN











