FENOMENA Parlimen tergantung timbul apabila tidak ada mana-mana parti politik menguasai majoriti di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dengan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkuasa untuk melantik seorang Perdana Menteri selaku ketua negara telah membuat keputusan bijak mengatasi fenomena ini di bawah Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.
Memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan bukti beliau memperoleh sokongan majoriti hampir 147 ahli Parlimen, iaitu melebihi 112, maka baginda melantik Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri ke-10.
Seterusnya, Anwar mengumumkan bahawa beliau membentuk sebuah kerajaan perpaduan menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan perpaduan ini dibentuk dengan pakatan politik antara beberapa parti seperti Pakatan Harapan (PH) yang menang 82 kerusi, UMNO 26 kerusi, blok Borneo 29 kerusi iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kebijaksanaan Anwar untuk memperoleh jumlah besar ahli Parlimen bagi menyokong beliau membentuk sebuah kerajaan baharu adalah merupakan satu episod bersejarah kerana ia adalah sokongan majoriti dua pertiga selepas PRU11.
Kali terakhir Kerajaan Persekutuan dibentuk dengan majoriti dua pertiga adalah ketika PRU11 pada 2004. Ketika itu, Barisan Nasional (BN) memenangi 199 kerusi daripada keseluruhan 219 kerusi Parlimen.
Dalam pada itu, kerajaan perpaduan kini telah dijenamakan sebagai kerajaan madani sejak Januari 2023. Secara amnya, kerajaan madani memfokuskan kepada mewujudkan keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan dan tadbir urus baik.
Tetapi, kerajaan madani yang melaungkan perpaduan telah meninggalkan MCA dan MIC daripada berkongsi kuasa dalam mengurus pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Meskipun kedua-dua parti ini mempunyai wakil dalam Parlimen, tetapi tidak diberi peluang untuk berkongsi kuasa dalam kerajaan baharu. Dengan itu, kerajaan baharu ini lebih bersifat politics of accommodation semata-mata dan bukan kerajaan perpaduan yang sebenar.
Kita sedia maklum, selain daripada mewakili sebahagian besar kaum Cina dan India di Malaysia, MCA dan MIC adalah pengasas, pelopor dan perintis semangat nasionalisme malah berjuang bersama-sama UMNO untuk kemerdekaan negara yang tercinta ini.
Lebih-lebih lagi, MCA dan MIC adalah anggota BN, gabungan parti yang merupakan asas kepada sokongan dan kekuatan kepada penubuhan kerajaan baharu selepas PRU15.
Rakyat masih ingat, semasa kerajaan PN dibentuk oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, wakil kedua-dua parti ini, meskipun tidak menang besar dalam PRU14, diberi peluang untuk menyertai Kabinet mewakili kaum Cina dan India.
KECEWA
Kedudukan dan perkembangan politik semasa dikesan telah menimbulkan rasa kecewa dan kurang senang hati dalam kalangan sebahagian besar komuniti bukan Melayu khususnya kaum India.
Walaupun sebahagian besar calon-calon MIC kalah dalam PRU15, itu bukan bermakna MIC ditolak oleh komuniti India secara total atau riwayat parti itu sudah tamat.
Perlu sedar hakikat politik di Malaysia bahawa kemenangan calon-calon MIC yang mewakili BN adalah banyak bergantung kepada sokongan kuat pengundi Melayu kerana tidak ada satu kawasan Parlimen pun dalam negara yang mempunyai majoriti pengundi India.
Jadi, dengan penolakan sebahagian besar pengundi Melayu terhadap calon BN, maka calon-calon MIC, yang mewakili BN terpaksa menghadapi tempias penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO/BN.
UMNO yang turut menghadapi gelombang penolakan dan kemerosotan sokongan sebahagian orang Melayu hanya dapat memenangi 29 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu pada PRU15. Namun, UMNO menyertai kerajaan perpaduan secara bersendirian, meninggalkan di belakang rakan kongsi dalam BN iaitu MCA dan MIC.
Adakah kepimpinan BN yang diterajui oleh UMNO tidak berasa sakit meninggalkan rakan seperjuangan di belakang seperti bak ungkapan cubit paha kiri, paha kanan terasa juga?
Perkembangan dan percaturan politik bersandarkan kuasa semata-mata pada akhir-akhir ini dikesan menimbulkan persepsi yang kurang sihat dalam kalangan komuniti India terhadap BN.
Mereka menyoal apakah sumbangan dan peranan malah sokongan MIC terhadap kemenangan calon-calon UMNO sejak pilihan raya pertama pada 1955 tidak lagi dihargai oleh kepimpinan UMNO sekali gus BN.
Dengan itu, timbul pelbagai andaian dan spekulasi dalam kalangan komuniti India terhadap keanggotaan MIC dalam BN. Antara persoalan yang timbul adalah apakah MIC akan terus kekal keanggotaannya dengan BN atau keluar BN secara terhormat dan menyertai gabungan parti pollitik yang mengiktiraf dan menghargai sumbangan MIC?
Laporan yang tersiar kononnya MIC diperuntukkan hanya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh BN untuk bertanding pada PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi, berbanding dengan 18 kerusi pada PRU14 telah menghangatkan lagi andaian tersebut.
Dengan perkembangan tersebut, PN yang dipimpin oleh Muhyiddin dijangka akan mempelawa MIC menyertai gagasan PN. Sekiranya ini terjadi, maka PN dengan rakan perjuangannya Pas, yang berjaya menawan sokongan sebahagian besar pengundi Melayu muda dan tua pada PRU15 akan menimbulkan cabaran hebat kepada pakatan PH dan BN di Semenanjung Malaysia dalam menghadapi PRN.
Meskipun medan politik negara kelihatan stabil dan tidak timbul haru-biru pada permukaan, tetapi perbincangan politik di peringkat akar umbi atau arus bawah adalah kencang sungguh.
Apa pun komuniti India berharap kepimpinan MIC akan mengambil keputusan yang bijak demi kelangsungan parti itu yang telah berusia 77 tahun demi kepentingan masa depan kaum India. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik.











