KELMARIN genaplah usia Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini dikenali dengan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan) 24 tahun.
Cerita Keadilan bermula bila buku 50 Dalil yang mengandungi tohmahan keji ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diedar secara percuma dalam Perhimpunan Agung UMNO Kali Ke-52 pada 1998.
Lanjutan isu ini, Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998 serta dari menjadi ahli UMNO pada 3 September 1998.
Anwar lalu melancarkan gerakan reformasi melalui Deklarasi Permatang Pauh 12 September 1998 yang berakhir dengan penahanan beliau dan rakan-rakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 20 September 1998.
Ketika ditahan, Anwar dipukul teruk oleh Ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, menyebabkan beliau muncul di mahkamah dengan mata kiri yang lebam. Dari sinilah lahirnya imej mata pada logo Keadilan, selaku cahaya yang menyuluh perjuangan untuk menegakkan keadilan.
Bagi menggerakkan reformasi, sebuah pertubuhan sosial bernama Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) yang diketuai oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah ditubuhkan pada 10 Disember 1998 tetapi Adil tidak diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Bagi mengatasi permasalahan ini, sebuah parti politik tidak aktif bernama Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) telah diambil alih dan dilancarkan kembali di bawah nama Keadilan dengan cogan kata Keadilan untuk semua pada 4 April 1999.
Menyusuli pelancaran Keadilan ini adalah tindakan Hakim S. Augustine Paul menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap empat tuduhan rasuah, yang bicaranya bermula pada 2 November 1998, ke atas Anwar dengan hukuman berjalan serentak pada 14 April 1999.
Dari sinilah bermulanya perjuangan menegakkan reformasi melalui saluran pilihan raya. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) pada 29 November 1999, Keadilan bergabung dengan Pas, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) melalui Barisan Alternatif (BA).
Agihan kerusinya ialah 63 Pas, 58 Keadilan, 38 DAP dan tiga PRM manakala yang menang ialah 27 Pas, 10 DAP dan lima Keadilan serta Terengganu berjaya dirampas oleh Pas.
Setelah DAP keluar dari BA pada 22 September 2001 kerana pertelingkahan dengan Pas, Keadilan dan PRM pula telah bergabung untuk melancarkan satu parti baharu bernama PKR pada 3 Ogos 2003.
Setelah Dr. Mahathir berundur dari menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, imej baharu penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan BA kalah teruk dalam PRU11 pada 21 Mac 2004.
Daripada 86 kerusi yang ditandingi oleh Pas dan 59 kerusi yang ditandingi oleh PKR, Pas hanya menang lima kerusi dan PKR menang satu kerusi iaitu di Parlimen Permatang Pauh.
Pembebasan Anwar dari penjara pada 2 September 2004 bagaimanapun telah memberi satu rejuvenasi besar kepada PKR.
Dengan adanya Anwar, PKR telah menjadi tonggak kepada pakatan pembangkang, dan DAP kembali bersefahaman secara longgar dengan BA, dengan agihan 97 kerusi PKR, 66 kerusi Pas dan 47 kerusi DAP dalam PRU12 pada 8 Mac 2008.
Hasilnya, PKR menang 31 kerusi, DAP menang 28 kerusi dan Pas menang 23 kerusi manakala Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah berjaya dirampas.
TUMBANG
Prestasi baik BA, yang dinamakan semula sebagai Pakatan Rakyat (PR) selepas PRU12, berterusan dalam PRU13 pada 2013. PKR terus menjadi tonggak kepada PR dengan agihan 99 kerusi PKR, 73 kerusi Pas dan 41 kerusi DAP. Hasilnya, DAP menang 38 kerusi, PKR menang 29 kerusi dan Pas menang 21 kerusi manakala Selangor dan Pulau Pinang berjaya dikekalkan.
Namun, detik getir sekali lagi menimpa PKR bila Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar menyebabkan parti itu kehilangan penerajunya.
Setelah ketiadaan Anwar dan meninggalnya bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Pas keluar dari PR, dan satu gabungan baharu bernama Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan oleh PKR, DAP serta parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai oleh Dr. Mahathir.
Dalam PRU14 pada 2018, walaupun Dr. Mahathir adalah Pengerusi PH, yang menjadi tonggak dalam PH masih PKR yang bertanding di 70 kerusi berbanding 51 kerusi Bersatu, 47 kerusi DAP dan 35 kerusi Amanah. Terbukti PKR mendominasi bila menang di 47 kerusi berbanding 42 kerusi DAP, 13 kerusi Bersatu dan 11 kerusi Amanah.
Walaupun PKR mendominasi, atas dasar janji, yang menjadi Perdana Menteri ialah Dr. Mahathir. Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga. Anwar pula diberi pengampunan penuh pada 16 Mei 2018.
Begitupun, Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH berlaku pada 24 Februari 2020 sebelum sempat Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Terpahat dalam tinta sejarah nama 11 ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mengkhianati parti manakala Bersatu pula mengkhianati PH.
Setelah berada di luar kerajaan, PKR terus tekad berjuang, walaupun semua calonnya kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Sarawak pada pada 20 November 2021 dan 18 Disember 2021 serta hanya seorang calonnya menang dalam PRN Johor pada 14 Mac 2022.
Walaupun begitu, dalam PRU15, PKR tetap menjadi tonggak dalam PH dengan diberi 89 kerusi untuk ditandingi berbanding 55 kerusi DAP dan 50 kerusi Amanah. Dan membanggakan bila PKR masih menang di 31 kerusi berbanding 40 kerusi DAP dan lapan kerusi Amanah.
Walaupun tidak menang mutlak, PKR dan PH, dengan kebijaksanaan berunding Anwar, beliau akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan perpaduan tetapi perjuangan air mata dan darah ini bukanlah semata-mata untuk melihat Anwar menjadi Perdana Menteri.
Seperti ingatan Anwar sempena ulang tahun ke-24, PKR berpasak atas semangat islah yang kuat, kuasa adalah amanah dan bukan keistimewaan, justeru hak dan kebajikan rakyat mesti diutamakan. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah doktor falsafah jurusan sains politik di Universiti Utara Malaysia (UUM); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau; bekas EXCO Kerajaan Negeri Kedah dan bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR.











