DUNIA menghela nafas lega apabila berita yang beberapa jenis vaksin atau “pelali” dikatakan akan mula dipasarkan tidak lama dahulu. Apa lagi masyarakat seluruh dunia sedang mengalami gelombang ketiga yang lebih hebat dan dahsyat. Tidak terkecuali negara-negara maju terutama Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan Britain. Malah Britain menghadapi penularan virus jenis baharu yang muncul tiba-tiba akibat tindakan terabai di negara tersebut.
Afrika Selatan dan Brazil juga mengalami penularan yang sama, walaupun jenisnya dikatakan berlainan. Tetapi sudah cukup membawa berbagai masalah baharu. Apa yang menggusarkan adalah jangkaan yang virus baharu ini mempunyai kadar jangkitan yang lebih cepat, hatta mampu meragut lebih banyak nyawa termasuk yang berusia lebih muda. Sebelum ini mereka umumnya dikatakan terkecuali berbanding dengan yang lebih umur. Vaksin lebih sering disasarkan kepada kumpulan tua walaupun terpaksa mengambil risiko tertentu sepertimana yang dilaporkan.
Maka tidak hairanlah jika banyak negara menggamit kehadiran vaksin tersebut walaupun berbagai persoalan masih belum terjawab dengan jelas. Antaranya, soal kemujaraban, keberkesanan, kesan sampingan dan keselamatan. Begitu juga dengan bekalan, pengangkutan, simpanan dan harga. Apatah lagi vaksin tersebut terhasil dengan begitu pantas berbanding jangka masa yang lazim diambil – yakni antara lima hingga 10 tahun.
CANGGIH
Sedangkan vaksin yang baharu, kurang daripada satu tahun buat kali pertamanya. Sekilas pandang ini bermakna maklumat serta data saintifik yang wajar diperoleh tidak sebanyak yang diperoleh jika ujian dilakukan dengan jangka masa bertahun-tahun lebih lama. Maklumat serta data ini penting kerana ia menjadi asas utama dalam membuat keputusan tentang keutuhan sesuatu jenis vaksin itu.
Tambahan pula dikatakan bahawa teknologi yang digunakan adalah antara tercanggih julung-julung kalinya. Dengan kata lain, ramai termasuk para pakar tertunggu-tunggu tentang profil lengkap setiap vaksin yang ingin disyorkan. Pada asasnya kesan positif mesti mengatasi sebarang tindakan negatif yang dikesan apabila digunakan.
Apa pun oleh kerana keadaan amat mendesak dengan bilangan kematian berjuta-juta ramainya dan yang terjangkit berpuluh juta, malah melewati ratusan juta kini. Hari demi hari desakan dari semua sudut beransur lantang. Maka dilaksanakan suatu langkah kecemasan di mana vaksin-vaksin yang ada boleh di“gunakan” secara rasmi di bawah peruntukan khas.
Tidak menghairankan yang Britain mendahului semua bagi mengatasi kemelut yang menimpa warganya. Seolah-olah pucuk dicita ulam mendatang. Sekurang-kurangnya terdapat satu bentuk pembelaan dilakukan selain hanya menguar-uarkan langkah berjaga-jaga, walau tindakan tersebut masih penting dan tidak boleh diabaikan.
TAMAK
Britain disusul pula oleh AS, kemudian Kesatuan Eropah – masing-masing dengan harapan merintangi jangkitan yang terus merebak kepada orang ramai. Negara China tidak ketinggalan, begitu juga Rusia antara lain. Sekali gus mahu tidak mahu wujud suatu perlumbaan tidak sihat untuk mendapatkan seberapa banyak vaksin yang boleh atas alasan demi melindungi rakyat negara masing-masing.
Ada laporan menunjukkan negara-negara ini menempah jauh lebih banyak bekalan daripada yang diperlukan. Bermakna ada negara lain terhindar dari bekalan yang benar-benar diperlukan.
Dengan bertambahnya ciptaan berbagai jenis vaksin maka perlumbaan terus diapi-apikan dalam usaha mengaut keuntungan lumayan. Masalah kesihatan yang sedia ada disaratkan lagi oleh faktor kerakusan ekonomi.
Hal-hal ini membawa ketegangan antara negara-negara kaya yang berentap dengan satu sama lain. Juga antara syarikat vaksin yang dituduh gagal membekalkan vaksin yang telah ditempah terlebih dahulu. Menurut sesetengah sumber berlaku penyelewengan bekalan kepada negara lain. Ada pula pihak yang cuba mengharamkan pengeksportan vaksin supaya bekalan tersebut tidak terputus.
Namun semua ini membayangkan sikap tidak beretika, tamak haloba serta tidak berperikemanusiaan. Walaupun semua negara mengakui bahawa wabak Covid-19 jelas merupakan satu masalah sejagat dan terpaksa diharungi bersama, apa yang tinggal hanya kata-kata kosong sahaja. Cakap tak serupa bikin apabila yang diutamakan adalah kepentingan puak-puak tertentu, kaum, masyarakat dan negara serta rantau sendiri.
NYAWA
Paling jelas mereka yang kurang mampu terus tercicir dan tiada mendapat pembelaan sama sekali. Ungkapan “tiada seorang akan ketinggalan” yang sering laung-laungkan seantero, tiba-tiba tidak kedengaran lagi. Kepentingan “kita” bertukar menjadi “kami” ataupun “aku.”
Istilah “nasionalisme vaksin” pun dihaburkan. “Lu-lu, gua-gua.” Seolah-olah Covid-19 mempedulikan puak, kedudukan dan harta benda dalam penularannya. Kesimpulan yang jelas: apabila sampai kepada soal hidup-mati, manusia semuanya sama sahaja. Masing-masing tidak mahu menjaga tepi kain orang. Berbeza dengan ketika sebaliknya. Sekali gus mengisyaratkan betapa rapuhnya kesedaran masyarakat sejagat mahupun setempat.
Ini membayangkan kegagalan dalam memupuk suatu semangat kesejahteraan bersama, sekadar berslogan semata-mata. Semua kepura-puraan ini terdedah oleh wabak yang terus mengganas.
Dan dikuatkan lagi dengan krisis nasionalisme vaksin yang kini sedang melanda dengan kencangnya. Amat malanglah jika nasib dan nyawa manusia sejagat masih dipertaruhkan walaupun penawar sudah pun terhasil untuk kegunaan awam. Semuanya berpunca dari kerakusan yang memuncak dan tiada kawalan.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










