Berehatlah ‘Atan’... - Utusan Malaysia

Berehatlah ‘Atan’…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“OH Atan di mana engkau berada, dah lama tok cari tak jumpa. Oh atok, Atan ada di sini, sedang duduk di tepi perigi.”

Itu bait lirik yang mungkin akan selamanya kekal dalam ingatan peminat seniman negara, Datuk Jamali Shadat. Dendangan lagu Atan Merajuk yang cukup popular sekitar 1974.

Tetapi kini kita tahu Atan di mana, dia sudah pulang ke negeri abadi. Meninggalkan dunia ini dengan sejuta kenangan dan penghargaan. Dia legenda seni yang tiada berganti. Satu-satunya, Datuk Jamali Shadat.

Menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.15 pagi semalam ketika sedang tidur, negara kehilangan satu lagi bintang komedi yang cukup berwibawa. Bakatnya kekal disegani selama lima dekad dalam industri seni.

Memulakan langkah seninya selepas merangkul tempat kedua dalam pertandingan Bakat TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1971, bintang lawak solo ini terus mekar di laman ingatan peminat sebagai permata seni yang cukup berbakat.

Kebolehannya mengajuk suara kanak-kanak dan mampu berjenaka dalam beberapa bahasa juga menjadikan Allahyarham seorang ikon seni. Kewibawaan serta komitmen dalam dunia seni cukup sukar dicari ganti.

Popular dengan watak Atan yang sering ‘membuli’ atuknya (yang juga dirinya sendiri), Allahyarham menjadikan karakter itu sebagai ‘umpan’ yang memancing peminat-peminatnya dan nama terus gemilang di persada seni tanah air.

Umpan itu menjadi sehingga karakter itu kekal menjadi sebahagian sejarah beliau dalam diari ingatan peminat. Pelbagai filem pecah panggung, lagu-lagu juara carta dan program antaranya Jamali Shadat Show adalah bukti beliau bintang seni sejati.

Sering membawakan isu kemasyarakatan dan kenegaraan dalam setiap komedinya, nama Jamali melingkari dunia seni dengan begitu pantas. Beliau berjaya menyulam rasa sayang dan cinta dalam sanubari peminatnya.

JAMALI Shadat dalam sebuah sketsa bersama mendiang Ayappan untuk siaran televisyen RTM pada 1970-an.

Itu yang membezakan bintang seni ini dengan segelintir pelawak sedia ada. Dia mampu mengukir nama bukan sahaja dalam kalangan peminat Melayu malah kaum lain juga sama terpesona terhadap jenakanya.

Dalam satu temu bual, Allahyarham pernah mendedahkan, ketika negara berdepan banjir besar sekitar 1980-an, beliau dipanggil untuk menyuntik ketenangan dan menghiburkan hati penduduk yang terjejas dengan lawak jenakanya.

“Saya pernah membuat persembahan komedi di hadapan khalayak yang terdiri daripada pelbagai kaum. Ada Melayu, Cina dan India. Kita mampu menyatukan masyarakat dengan seni,” katanya.

Malah kebolehannya berjenaka dan berdialog dalam pelbagai bahasa bermula sedari kecil. Beliau pernah bekerja di estet milik majikan India dan kedai runcit milik Cina.

Berdekad lamanya dia berbakti dalam dunia seni, pemergian isterinya, Lela Yacob ke rahmatullah pada 2018 akibat angin ahmar membawa sekali semangatnya. Beliau banyak mendiamkan diri dan semakin uzur hari demi hari.

Penerima Anugerah Khas Juri – Artis Veteran dalam Anugerah Lawak Warna 2014 ini mula kurang selera dan bergantung kepada lapan anak serta 39 cucu untuk menguruskan hidup.

50 tahun menabur bakti, di tangga usia 78 beliau pergi meninggalkan dunia, pulang ke negeri abadi. Berehatlah Atan. Jutaan terima kasih kerana menjadi penghibur yang memberi senyum dan tawa dalam hidup kami.

Semoga kuburmu diterangi cahaya dan doa-doa mereka yang terhutang budi kasih denganmu. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam pelukan rahmat Illahi dan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×