JKDM tiada kompromi isu salah laku warganya - Utusan Malaysia

JKDM tiada kompromi isu salah laku warganya

Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyambut baik cadangan kerajaan menubuhkan badan khas untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap salah laku melibatkan semua anggota pe­nguatkuasaan di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pe­ngarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, JKDM tidak berkompromi jika melibatkan isu-isu salah laku dan integriti dalam kalangan warganya.

Menurut beliau, buat masa ini isu-isu yang berkaitan salah laku warga dan integriti dikendalikan oleh Cawangan Integriti JKDM yang diketuai oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Gred P54 dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Malah, JKDM juga adalah salah satu daripada 21 agensi yang di bawah selian Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang berfungsi dan berperanan sebagaimana yang diperuntukan di bawah subseksyen 4(1) Akta 700 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009,” katanya semalam.

Sehubungan itu, cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan satu badan khas untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap salah laku melibatkan anggota penguatkuasaan disambut baik.

“Tindakan ini demi menjadikan negara Malaysia bebas rasuah,” jelasnya.

Minggu lepas, Perdana Menteri memberi arahan kepada Jabatan Peguam Negara mencari mekanisme yang boleh diguna pakai untuk menyiasat salah laku semua agensi penguat kuasa di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×