Mangsa ribut tak fikir persediaan raya

Mangsa ribut tak fikir persediaan raya

ANIS Suraya Aziz menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah dihempap pokok tumbang Sabtu lalu ketika ditemui di Bagan Serai semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Sebuah keluarga yang rumah dan kedai makan yang mereka usahakan musnah akibat dihempap pokok tumbang semasa ribut pada Sabtu lalu, langsung tidak memikirkan persiapan menyambut Hari Raya.

Anis Suraya Aziz, 29, berkata, ini kerana dia dan suami serta dua anak mereka lebih memikirkan bagaimana untuk membina semula rumah mereka di Jalan Baru, Alor Pongsu di sini, yang musnah.

Katanya, mereka yang kini tinggal menumpang di rumah adiknya resah memikirkan kos untuk baik pulih atau pembinaan sebuah rumah baharu..

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami tak fikirkan persiapan hari raya,  apa yang kami fikirkan ialah bagaimana nak cari duit untuk menambak tanah untuk menyediakan tapak rumah baharu. Untuk hari raya kali ini kami sekeluarga hanya pakai apa yang ada sahaja.

“Biarlah kami sekeluarga memakai pakaian yang lama tanpa berganti baju raya kerana mahu menyimpan wang untuk menambak tapak rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Anis Suraya, dia juga terpaksa berhenti sementara berniaga mi rebus disebabkan semua  peralatan perniagaannya rosak setelah dihempap pokok tumbang.

“Apabila ada modal untuk membeli peralatan dan kedai makan menjual mi sudah dibaik pulih, saya akan kembali berniaga,” katanya.

Menurutnya, untuk permohonan rumah baharu atau baik pulih rumah,  ada pihak mencadangkan dia  memohon kepada Yayasan Negeri Perak.

Katanya, namun dia dimaklumkan sekiranya mahu membuat permohonan bantuan berkaitan rumah, pemohon mesti menyediakan tapak rumah sendiri terlebih dahulu.

“Saya memang ada tapak untuk rumah tetap perlu ditambak terlebih dahulu, sekiranya tidak ditambak, permohonan mungkin ditolak. Kos baik pulih hampir sama seperti membina sebuah rumah baharu,” katanya.

Anis Suraya mengakui bimbang memikirkan kos rumah baharu untuk mereka sekeluarga berikutan gaji suaminya yang bekerja di Pulau Pinang hanya RM1,700 sudah tentu tidak mampu.

“Memang ada yang menyarankan kami memohon bantuan bina rumah melalui Yayasan Negeri Perak, namun kami tidak mampu untuk menampung kos menambak tapak rumah sebagai syarat untuk memohon bantuan tersebut,” katanya.

Sumbangan kepada keluarga ini boleh disalurkan menerusi akaun Maybank atas nama Anis Suraya Aziz 1584-1713-7253 atau menghubunginya pada nombor 017-405 6920.-utusan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini