Bendang di Perlis turut terancam - Utusan Malaysia

Bendang di Perlis turut terancam

Sawah di Perlis juga mengalami penyusutan akibat ditebus guna untuk tujuan pembangunan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lebih 10,000 tan metrik hasil padi susut dengan anggaran kerugian mencecah RM15 juta dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, berikutan kawasan sawah khususnya di Kangar ditebus guna untuk pembangunan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizie Marzukhi berkata, difahamkan lebih 200 hektar kawasan sawah di Kangar sudah dibangunkan.

Ezreen Muhaizie Marzukhi

Berikutan itu, menurut beliau, rekod hasil padi yang dihantar ke kilang didapati susut sehingga 1,000 tan metrik setahun membabitkan nilai RM1.5 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, jumlah kemerosotan tersebut tidak termasuk hasil di kilang-kilang beras lain.

“Bagaimanapun, jumlah tanah bendang yang ditebus guna atau kerajaan membeli tanah-tanah bendang di Perlis untuk tujuan pembangunan tidaklah begitu ketara.

“Kita mendapati kemerosotan hasil padi dianggarkan 1,000 tan metrik setahun dan perkara itu berlaku sejak tempoh 10 hingga 15 tahun lalu berikutan sawah bendang di sini yang digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Ezreen Muhaizie memberitahu, Perlis kini mempunyai 51,000 hektar keluasan sawah dengan hasil 250,000 tan metrik setahun.

Dalam pada itu, kata beliau, anak-anak muda di negeri ini masih aktif bersawah termasuk menggunakan teknologi baharu seperti dron.

“Anak-anak muda masih meminati bidang pertanian yang menjadi antara sumber rezeki utama mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban turut bimbang jika sawah terus digunakan untuk tujuan pembangunan.

MOHD Shazwan Suban

Katanya, jika keadaan berlarutan boleh menyebabkan kawasan tanaman padi berkurangan di seluruh negara sekali gus menjejaskan pengeluaran beras selain negara akan terus bergantung dengan mengimport makanan ruji tersebut.

“Hampir 90-95 peratus rakyat Malaysia menjadikan nasi sebagai makanan utama dan apabila kawasan tanaman padi semakin berkurangan ia akan menjejaskan pengeluaran beras negara.

“Kalau boleh, kawasan-kawasan sawah jangan dikacau atau diambil untuk tujuan pembangunan. Untuk pembangunan gunalah kawasan lain,” katanya.

Kerajaan terpaksa mengimport 1.2 juta tan metrik beras atau 30 hingga 35 peratus setahun khususnya dari Thailand, Vietnam dan India. Keperluan beras di negara ini, sekitar 3.6 hingga 3.8 juta tan metrik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×