MALAYSIA Madani adalah visi untuk negara maju, inklusif dan lestari sejajar dengan Rancangan Transformasi Nasional 2040. Salah satu komponen penting untuk mencapai visi ini adalah pengembangan sistem pengangkutan kereta api yang selamat dan efisien.
Sistem pengangkutan kereta api yang selamat bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan penumpang dan kakitangan tetapi juga menyumbang untuk mencapai Malaysia Madani. Juga menyumbang untuk mencapai komponen terangkum Malaysia Madani dengan menyediakan pengangkutan yang selamat dan berpatutan untuk semua warganegara termasuk di luar bandar.
Selama dua dekad lalu, Malaysia menjalankan pelbagai usaha melibatkan pelaburan besar dalam meningkatkan keselamatan sistem kereta api. Menurut statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Agensi Pengangkutan Awam dan Darat (APAD), kadar kemalangan pengangkutan kereta api jauh lebih rendah berbanding pengangkutan jalan raya.
Pada 2019, sejumlah 7,148 kemalangan jalan raya melibatkan bas dan lori mengakibatkan 1,764 kematian. Sebagai perbandingan, hanya terdapat 15 kemalangan kereta api yang mengakibatkan lima kematian. Ini menunjukkan kadar kemalangan untuk pengangkutan kereta api jauh lebih rendah daripada pengangkutan jalan raya.
Sejajar dengan usaha kerajaan menaik taraf sistem pengangkutan rel, Malaysian Railway Roadmap dilancarkan. Dokumen ini merupakan perancangan strategik untuk memodenkan dan memperluas infrastruktur kereta api negara merangkumi tempoh 2018 hingga 2030.
Bagi mencapai objektif ini, pelan tersebut menggariskan beberapa inisiatif termasuk sistem pengangkutan rel landasan berkembar, perluasan jajaran rangkaian baharu rel seperti transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT), penambahbaikan kepada teknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan pengurusan operasi dan penyelenggaraan. Namun, negara masih menghadapi beberapa cabaran dalam memastikan keselamatan sistem pengangkutan rel adalah selamat serta mencapai tahap perkhidmatan diperlukan rakyat.
Sejak 2000, beberapa insiden berprofil tinggi menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kereta api bandar. Insiden ini mendorong kerajaan mengambil tindakan sewajarnya. Justeru, pada 2009, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Tanah (SPAD) yang kini dikenali sebagai APAD dibentuk dengan fungsi utama memantau dan mengawal keselamatan sistem pengangkutan awam negara.
Suruhanjaya memperkenalkan peraturan keselamatan lebih ketat dan peningkatan pemeriksaan infrastruktur kereta api. APAD turut terlibat dalam penyiasatan insiden dan melakukan audit keselamatan dan pemeriksaan berkala bagi memastikan pengendali perkhidmatan kereta api mematuhi peraturan keselamatan.
Namun, masalah melibatkan keselamatan kereta api masih berlaku khususnya rel antara bandar dan jajaran rel bandar. Beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan ini. Salah satunya ialah infrastruktur kereta api yang telah mencapai jangka hayat yang sepatutnya menjalani proses menaik taraf atau pengubahsuaian bagi memastikan ketersediaan perkhidmatan kereta api dapat dicapai.
Kurangnya peruntukan kewangan bagi menjalankan proses penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur kereta api secara berkala menyumbang kepada masalah keselamatan. Dalam usaha mengurangkan insiden, terdapat beberapa cabaran dihadapi oleh kebanyakan pemain.
BUDAYA
Salah satu cabaran utama adalah kekurangan dana pelaburan untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kereta api yang telah rosak. Sebilangan besar kereta api negara dibina pada 1990-an dan sejak itu tidak mendapat peningkatan ketara. Ini menyebabkan masalah seperti degradasi trek dan peralatan tidak berfungsi.
Faktor lain ialah kurangnya budaya keselamatan dalam kalangan kakitangan kereta api. Ini termasuk kegagalan mengikuti protokol dan polisi keselamatan, polisi dan protokol keselamatan yang tidak ditambah baik selaras dengan keperluan di peringkat antarabangsa mengakibatkan kejadian seperti pelanggaran dan kegelinciran kereta api.
Budaya keselamatan dalam kalangan pekerja sangat penting. Budaya keselamatan ini merujuk kepada nilai, sikap dan kepercayaan bersama tentang pentingnya keselamatan. Kesilapan manusia juga merupakan faktor penting dalam kejadian kemalangan kereta api. Ini termasuk kesilapan dilakukan oleh pemandu kereta api, pengendali isyarat dan pematuhan pekerja terhadap standard pengoperasian selaras dengan garis panduan antarabangsa terkini.
Tingkah laku pemanduan dan daya penumpuan juga menyumbang kepada kemalangan. Selain itu, terdapat beberapa kegagalan teknikal dalam sistem isyarat dan komunikasi. Keberkesanan kelewahan sistem yang masih kurang khususnya bagi komponen kritikal seperti alat komunikasi serta sistem rangkaian ini antara penyumbang terhadap masalah keselamatan.
Tambahan pula, kegagalan mengenal pasti punca kerosakan dalam tempoh tepat juga menyumbang kepada kelewatan mencari jalan penyelesaian. Kebergantungan kepada tenaga pakar luar negara di samping kelewatan menunggu stok alat ganti dari luar negara juga menyebabkan peningkatan kos dan kegagalan mencapai tahap ketersediaan perkhidmatan kereta api yang sepatutnya.
Masyarakat turut memainkan peranan dalam memastikan sistem pengangkutan rel mencapai tahap keselamatan sepatutnya. Faktor kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya langkah-langkah keselamatan dan kepentingan melaporkan masalah keselamatan juga menyumbang kepada kemalangan kereta api.
Penumpang dikhuatiri tidak mengetahui prosedur kecemasan atau mungkin gagal melaporkan masalah keselamatan seperti pintu tidak berfungsi atau tidak memahami isyarat amaran.
Kesimpulannya, faktor yang menyumbang kepada kemalangan kereta api di Malaysia merangkumi pelbagai aspek dan memerlukan pendekatan lebih komprehensif untuk menangani isu melibatkan keselamatan pengguna.
Perubahan-perubahan kecil mula dijalankan dan secara tidak langsung usaha tersebut adalah bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.
Pengangkutan kereta api yang selamat dan mencapai kebolehpercayaan yang tinggi telah meningkatkan tanggungjawab serta mendorong masyarakat menggunakan pengangkutan awam.-UTUSAN
-PROFESOR Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid ialah Penyelidik Kanan Di Pusat Kecemerlangan Industri Rel, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
-Nuramira Najihah Baharin ialah pelajar Sarjana Kejuruteraan Mekanikal di UTHM.











