PETALING JAYA: Bekas pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri masih menjalani hukuman di Penjara Kajang sebagai banduan akhir.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, sumber berkata, Azilah, 45, menunggu hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan pada 2020 menolak permohonannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
“Dia kini menjadi banduan akhir di Penjara Kajang sementara menunggu pelaksanaan hukuman gantung. Walaupun kerajaan dalam usaha memansuhkan hukuman mati mandatori yang bakal digantikan dengan hukuman alternatif baharu iaitu penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun, namun difahamkan ia tidak terpakai dengan status banduan akhir Azilah bagi kesalahan menyebabkan kematian.
“Bagaimanapun, ia semuanya bergantung dengan keputusan kerajaan selain dia (Azilah) hanya mempunyai pilihan akhir iaitu mendapatkan pengampunan diraja daripada Sultan Selangor,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Pada 14 Januari 2016, Azilah memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor dengan mengemukakan petisyen pengampunan diraja itu kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
Petisyen itu antaranya mengandungi nota keterangan kes itu, rekod rayuan dan nas perundangan
Pada 5 Disember 2019, Azilah memfailkan permohonan untuk semakan bersama-sama akuan berkanun setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Azilah meminta agar sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 diketepikan dan perintah agar kes itu dibicarakan semula.

Azilah dan Sirul Azhar Umar, 51, telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.
Mereka bagaimanapun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua bekas anggota UTK itu, malah Sirul Azhar telah melancong di Australia dan kini berada dalam tahanan imigresen selepas visa dan pasportnya tamat tempoh.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu.
Sementara itu, sumber keselamatan memberitahu, maklumat terakhir diketahui Sirul dikesan menjadi tahanan di Villawood, Sydney.
Katanya, bekas koperal itu melarikan diri ke negara itu susulan Australia tidak mengiktiraf hukuman mati.
“Jika dia dapat dibawa pulang ke sini, hukuman ke atasnya perlu dijalankan namun itu agak mustahil kerana Australia tidak membenarkan ekstradisi untuk hukuman mati,” katanya.
Akta Ekstradisi Australia tidak membenarkan ekstradisi dari Australia di mana kesalahan itu tertakluk kepada hukuman mati, melainkan jika satu aku janji diberikan bahawa hukuman mati itu tidak akan dikenakan atau, jika dikenakan tidak akan dilaksanakan. – UTUSAN










