UMS, Gamalux Oils teroka bahan buangan sawit

UMS, Gamalux Oils teroka bahan buangan sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Gamalux Oils Sdn Bhd bagi menjalankan penyelidikan bahan buangan kelapa sawit dikenali sebagai De-Oiled Bleaching Earth (DOBE).

Menurut Dekan FKJ, Profesor Madya Dr. Ismail Saad, kerjasama melalui satu surat niat oleh kedua-dua pihak itu akan mengkaji dan meneroka kegunaan DOBE dalam sektor pembinaan.

Beliau berkata, kajian awal yang dijalankan oleh penyelidik FKJ menunjukkan DOBE mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan dalam penstabilan tanah dan bahan untuk menghasilkan konkrit.

Katanya, penggunaan DOBE sebagai bahan di dalam industri pembinaan dipercayai mampu mengurangkan sisa bahan buangan DOBE yang dihasilkan dalam pengeluaran minyak kelapa sawit dan juga memberikan impak yang positif kepada persekitaran.

“Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut perlu dilakukan untuk memahami implikasi penggunaan DOBE dalam penstabilan tanah dan penghasilan konkrit bagi memastikan konkrit yang dihasilkan memenuhi tahap piawai yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada majlis menandatangani surat niat itu, FKJ diwakili Ismail dan Gamalux Oils diwakili oleh Ketua Fasiliti Kilangnya, James Thiruchelvam.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah, Benedict Bisono; Ketua Bahagian Kelestarian, Persekitaran Pelabuhan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Sabah, Aaron F. Sualim dan Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FKJ, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Kamaruddin Abd. Hamid.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, FKJ ketika ini secara aktif sedang menjalankan penyelidikan melibatkan bahan buangan seperti plastik, tayar dan kaca untuk digunakan sebagai bahan dalam penghasilan bata paver block.

“FKJ juga telah menubuhkan unit penyelidikan yang dinamakan Unit Penyelidikan Bahan Hijau dan Teknologi Pembinaan Termaju (GMACT) yang banyak menumpukan kajian berkaitan bahan hijau untuk digunakan dalam industri pembinaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×