KELESTARIAN alam sekitar ialah kunci kepada kelangsungan kehidupan masa depan. Namun, ramai yang tidak mengambil berat atau terlepas pandang akan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam hal memelihara bumi ini.
Bagi sebahagian daripada kita, itu semua sekadar tanggungjawab kerajaan dan badan-badan tertentu sahaja, bukan bagi kita sebagai warga bumi.
Hakikatnya, setiap warga dunia mempunyai tanggungjawab besar untuk memelihara alam sekitar agar tidak dicemari atau dirosakkan sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja.
Contoh paling mudah ialah cara kita menguruskan sisa pepejal rumah tangga khususnya sisa makanan. Perkara ini mungkin dianggap remeh, namun lihat sahaja kuantiti sampah yang terpaksa diselenggarakan setiap hari dan kesannya ke atas alam sekitar.
Jika kita melihat ke dalam tong sampah di sekitar kantin, kafeteria, restoran dan sebagainya, kita pasti akan melihat banyak lebihan makanan yang masih boleh dimakan dibuang begitu sahaja. Keadaan sama turut berlaku di universiti, sedangkan pada masa sama, ramai pelajar mengeluh kerana terpaksa mengikat perut.
Malah, tidak ketinggalan juga di rumah-rumah di mana sebahagian kita memilih untuk tidak menyimpan lebihan makanan walaupun mereka mempunyai peti sejuk untuk tujuan itu. Maka, bayangkanlah jumlah sisa makanan yang dibuang setiap hari.
Namun, di sesetengah tempat, cara menangani lebihan makanan adalah begitu berbeza. Pertama sekali, tidak banyak sisa makanan yang perlu dibuang kerana mereka berhemat. Bukan sahaja mereka menghabiskan makanan sehabis-habisnya, tetapi yang mana tidak lagi boleh dimakan oleh kita sebagai manusia akan diberikan kegunaan baharu.
Salah satu kegunaan utama adalah sebagai makanan bagi haiwan ternakan mereka. Hasilnya, mereka telah mengurangkan salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada lambakan sampah yang akan dibuang, iaitu sisa makanan.
Lazimnya di tempat kita, segala bentuk sisa makanan sama ada tetulang dan sabut serat, mahupun tinggalan daging dan nasi akan dibuang sahaja ke dalam tong sampah untuk dikutip oleh petugas kebersihan.
Walhal, banyak daripada sisa makanan itu sebenarnya boleh digunakan semula. Bukan sahaja kita dapat mengoptimumkan kegunaan sumber makanan, kita juga dapat mengurangkan jumlah sampah yang ada, lalu menurunkan risiko kerosakan kepada bumi akibat kesan rumah hijau.
Selain dijadikan makanan haiwan ternakan dan peliharaan, bahan-bahan serat seperti sisa sayur dan buah juga boleh dijadikan kompos. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah sisa terbuang tetapi ia juga boleh meningkatkan produktiviti hasil tanaman di sekeliling rumah serta menjimatkan kos membeli baja di pasaran. Namun, perkara sebegini sering dipandang sepi oleh anggota masyarakat.
Malah, ada yang membuang lebihan makanan dalam kuantiti yang besar walaupun makanan itu masih elok. Walhal, sepatutnya lebihan makanan disimpan untuk dimakan kemudiannya. Hal ini bukanlah asing bagi kita terutama ketika bulan Ramadan, musim-musim perayaan serta hari-hari awal bulan.
BUFET
Berhadapan dengan pelbagai pilihan juadah istimewa, ramai yang tidak dapat mengawal diri daripada membeli makanan secara berlebihan pada bulan puasa. Malah, menghampiri bulan Ramadan, ramai yang sudah membuat perancangan juadah apa yang akan mereka beli nanti dan bazar makanan mana yang bakal mereka kunjungi.
Begitu juga keadaannya di hotel dan restoran yang menawarkan hidangan bufet berbuka puasa. Oleh kerana para pelanggan bebas mengambil apa sahaja yang dihidangkan, banyak makanan tidak dapat mereka habiskan dan akhirnya dibuang begitu sahaja.
Dalam keseronokan berbuka puasa, kita terlupa akan bahayanya sifat tamak sehingga membazirkan rezeki telah diberi dengan sia-sia serta menjadi penyumbang kepada jumlah sampah yang mesti diselenggarakan.
Hal ini berpunca daripada kelemahan diri kita dalam menghargai rezeki yang diturunkan. Jangan biarkan nafsu mengawal akal fikiran kita. Banyak masalah dapat kita tangani jika kita mampu mengawal sifat tamak dan bijak mengawal nafsu. Jika mempunyai lebihan makanan, ia bukan untuk dibuang kerana itulah rezeki kita untuk hari-hari seterusnya.
Makanan yang lebih boleh dikongsikan dan yang tidak habis dimakan boleh disimpan dan dipanaskan semula. Malah, itulah cara orang-orang kita dahulu. Mereka sangat kreatif dalam menghasilkan hidangan baharu yang lazat daripada lebihan makanan.
Kata ibu, moyang saya selalu berpesan agar jangan sekali-kali dibuang makanan yang tersisa. Nasi yang lebih bersama lebihan ikan atau daging daripada hidangan sebelumnya sedap jika dijadikan nasi goreng untuk sarapan.
Cucur juga sering dicampurkan dengan lebihan lauk agar lebih lazat rasanya. Lebihan kuah juga boleh digunakan untuk memasak nasi; malah dengan olahan yang betul, hasilnya sangat menyelerakan. Itulah kebijaksanaan nenek moyang kita menjaga bumi ini tanpa memerlukan garis panduan pelestarian.
Penggunaan bahan tidak mudah pupus seperti plastik secara berleluasa, juga menambah kuantiti sampah di serata dunia. Dahulu, sebelum adanya bahan-bahan sintetik, sampah sarap boleh dilupuskan dengan cara semula jadi.
Kini bumi telah dicemari oleh lambakan sisa pepejal yang banyak sehingga mengakibatkan pelbagai kerosakan kepada alam sekitar termasuk haiwan-haiwan yang hidup di lautan.
Kita tidak akan berupaya untuk mengubah dunia tanpa mengubah sikap diri terlebih terdahulu. Tiada gunanya sekadar beretorik dengan pelbagai teori dan slogan tentang pelestarian dunia jika sikap dan kesedaran itu tidak tertanam di dalam diri kita sendiri. Jangan dirosakkan lagi bumi ini, padahnya akan kembali kepada diri kita kelak.
Semoga Ramadan ini berjaya melatih kita semua mendisiplinkan diri. Selamat berpuasa, semoga amal ibadat kita diterima Allah SWT, amin. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











