KES tuntutan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan yang membawa kemenangan kepada Malaysia pada 17 Disember 2002 mempunyai makna besar. Pengajaran harus diambil daripada kemenangan kes ini.
Konflik berlaku antara Malaysia dan Indonesia ke atas kedua-dua pulau kecil ini gagal diselesaikan melalui kaedah negosiasi dan perbincangan diplomatik. Selaras Artikel 33 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik antara dua negara berjiran ini dibawa kepada Mahkamah Keadilan Antabangasa (ICJ) di The Hague, Belanda. Apa yang dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia ini adalah berasaskan Artikel 2(3) Piagam PBB, iaitu sebarang konflik yang berlaku antara negara anggota PBB hendaklah diselesaikan melalui kaedah dan secara aman. Kedua-dua pihak mempunyai hujah masing-masing dalam proses menuntut hak dan kedaulatan ke atas kedua-dua pulau kecil ini.
Kemenangan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan ini agak unik kerana pada asasnya, kedua-dua pulau ini terletak dalam kawasan wilayah Indonesia mengikut Konvensyen 1891 yang ditandatangani Belanda dan United Kingdom (UK). Dalam perjanjian ini dinyatakan garisan lintang 4 darjah dan 10 minit utara adalah garis pemisah antara wilayah Belanda dan UK. Kawasan ke utara daripada garis lintang ini menjadi milik UK dan arah ke selatan adalah milik Belanda.
Selepas berakhirnya zaman penjajahan dan kedua-dua negara mewarisi wilayah penjajahan masing-masing, secara logik biasa, Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan adalah milik Indonesia kerana berada ke selatan dari garis sempadan yang dipersetujui oleh kedua-dua penjajah. Keputusan penentuan kedaulatan wilayah tidak berlaku semudah itu. Ada faktor lain yang diambil kira dalam menentukan kedaulatan sesebuah wilayah mengikut undang-undang awam antarabangsa yang diputuskan oleh ICJ.
Apakah hujah yang membawa kepada kes tuntutan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan memihak kepada Malaysia? Persoalan penting dalam keputusan ICJ adalah faktor pendudukan efektif. Hujah Malaysia yang membuktikan berlaku pendudukan efektif oleh pihak Malaysia diterima oleh ICJ. The Turtle Preservation Ordinance of 1917 menjadi hujah yang diterima bahawa Malaysia telah melakukan kegiatan memungut telur penyu di pulau itu. Ini adalah kegiatan ekonomi yang sesuai dan patut pada keadaan pada masa itu. Ordinan ini terpakai dan diaplikasi sehingga ke tahun-tahun 1950-an.
Hujah Indonesia yang menyatakan nelayannya secara tradisi melakukan kegiatan perikanan di sekitar perairan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan ditolak oleh ICJ. Begitu juga hujah Indonesia yang menyatakan tentera laut Belanda (semasa penjajahan) dan tentera laut Indonesia selepas kemerdekaan melakukan rondaan dan pengawasan ditolak oleh ICJ.
Pendudukan efektif Malaysia diterima dan diperkukuhkan lagi dengan pembinaan rumah api di kedua-dua pulau itu bagi memudahkan urusan perkapalan dan kegiatan berkaitan serta tanda arah pengecaman. Malaysia membina rumah api di Pulau Sipadan pada 1962 dan di Pulau Ligitan pada 1963. Pembinaan kedua-dua rumah api ini tidak dibantah secara rasmi oleh Indonesia.
PEDRA BRANCA
Semua ini membuktikan kepada ICJ bahawa berlakunya pendudukan efektif Malaysia di kedua-dua pulau tersebut. Akhirnya ICJ memutuskan kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan adalah milik Malaysia.
Faktor pendudukan efektif mempunyai pengaruh besar dalam membuat keputusan penghakiman.
Faktor pendudukan efektif ini juga mempunyai kaitan rapat dengan keputusan ICJ ke atas kes konflik Malaysia-Singapura ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) pada Mei 2008. Sebab utama yang membawa kemenangan Singapura ke atas Pulau Batu Puteh adalah faktor pendudukan efektif. Faktor pendudukan efektif ini juga menentukan kes-kes konflik tuntutan wilayah lain di peringkat antarabangsa seperti Island of Palmas Arbitration Case (Belanda lawan Amerika Syarikat), Clipperton Island Case (Perancis lawan Mexico), Eastern Greenland Case (Norway lawan Denmark) dan Minquiers and Eecrehos Case (Perancis lawan UK). Peguam undang-undang antarabangsa tentu arif tentang faktor berkaitan dengan konflik dan tuntutan wilayah.
Apakah pengajaran boleh kita ambil daripada kemenangan dalam tuntutan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan ini? Apa yang penting adalah faktor berkaitan dengan pendudukan efektif dan pengurusan serta polisi pentadbiran pulau-pulau di kawasan berhampiran sempadan. Misalnya, kawasan pantai timur Sabah bersempadan dengan Indonesia dan Filipina. Polisi yang ada kaitan dengan faktor kependudukan efektif mesti jelas dan bukti bertulis boleh diterima oleh pihak antarabangsa.
Faktor pendudukan efektif ini boleh mengatasi garis sempadan dan perjanjian antarabangsa (seperti berlaku dengan Konvensyen 1891 dan penentuan kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan). Tindakan pihak berkuasa mengukuhkan kedudukan wilayah negara adalah isu besar yang perlu tindakan segera. Kawasan pantai timur Sabah dan selatan Persekutuan Tanah Melayu (selatan Johor berhampiran Singapura) dilihat sebagai kemungkinan akan berlaku konflik tuntutan. Kekalahan tuntutan Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh pada Mei 2008 perlu dijadikan pengajaran besar supaya tidak berulang pada masa depan. Singapura mungkin menuntut mana-mana pulau yang mempunyai asas kukuh memihak kepadanya.
Asas kemenangan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan perlu dijadikan asas polisi pentadbiran pulau-pulau kecil di pantai timur Sabah. Kawasan ini mungkin menjadi bertambah penting dengan perpindahan ibu kota Indonesia ke wilayah Kalimantan Utara. Pemahaman mendalam tentang undang-undang awam antarabangsa serta perbezaannya dengan undang-unang domestik perlu dihadam oleh pembuat dasar dengan benar-benar jelas. Pihak berkuasa pembuat dasar perlu bekerjasama dan bertukar pendapat serta meminta pandangan daripada ahli akademik dalam hal-hal berkaitan yang sesuai. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.











