SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar akan menggunakan kuasanya untuk memerangi rasuah termasuk pemimpin-pemimpin yang dikenal pasti terlibat dengan jenayah itu.
Malah Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan tunduk dengan tekanan untuk membiarkan pemimpin terbabit bebas termasuk mereka yang lari cukai untuk terus membolot kekayaan dengan membawa keluar dari negara ini.
“Saya kutip cukai daripada rakyat, saya juga takkan lepaskan tauke-tauke maha kaya daripada membayar cukai.
“Itu bezanya, selama ini kuasa politik melindungi penjenayah-penjenayah besar, memperkayakan beberapa kerat penguasa dan digunakan kuasa itu untuk melindungi mereka dan menghentam rakyat. Kita gunakan kuasa itu untuk melindungi rakyat dan menyerang perasuah,” kata beliau dalam ucapan dasar Kongres Nasional Khas 2023 PKR di sini semalam.
Dalam ucapan tersebut, Presiden PKR itu turut menempelak segelintir pemimpin yang beretorik memperjuangkan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Menurut Anwar, kerajaan pimpinannya kini mengumpulkan kekuatan suara rakyat untuk menyelamatkan negara dan tidak bertolak ansur untuk memerangi rasuah dan membela nasib rakyat.
“Tetapi apa yang berlaku sekarang, bila digagaskan umpamanya pembasmian miskin tegar dengan IPR (Inisiatif Pendapatan Rakyat), Menu Rahmah dan membantu 130,000 rakyat paling miskin termasuk di Sabah Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang ada yang terus mempertikaikan,” kata beliau.
Selain itu, Anwar turut mengkritik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kerap menyuarakan isu orang Melayu ketika beliau tidak lagi berkuasa.
“Ada orang sekarang sudah 22 tahun campur 22 bulan berkuasa, sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya,” kata beliau. – UTUSAN











