KUANTAN: Harga rumah dijangka terus melambung ekoran kos bahan asas binaan mencatatkan kenaikan antara 15 ke 20 peratus.
Sebagai contoh, jika sebelum ini sebuah rumah dijual RM150,000, akan naik kepada RM180,000 seunit termasuk membabitkan rumah mampu milik di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Ini sekali gus menyebabkan kesukaran khususnya bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli rumah kerana tidak layak dan gagal memperoleh pinjaman bank.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, harga simen iaitu salah satu daripada Barang Kawalan Berjadual, melonjak naik sehingga 20 peratus iaitu daripada RM18 setiap beg seberat 50 kilogram kepada RM22.50 bulan ini.
Beliau berkata, apabila harga simen yang merupakan bahan asas pembinaan terus meningkat, harga barangan lain yang menggunakan simen seperti, konkrit, bumbung dan longkang juga akan turut naik.
Ujarnya, kenaikan itu tidak sewajarnya berlaku tanpa sebab munasabah, lebih-lebih lagi ia bahan asas utama sektor pembinaan.
“Selain simen, konkrit G30 turut naik harga daripada RM255 sebelum ini kepada RM310. Besi Y20 juga naik daripada RM2,600 kepada RM3,450 satu tan metrik. Batu baur juga naik daripada RM25 kepada RM32.
“Bahan-bahan binaan lain yang turut naik harga adalah atap genting (RM2.50 ke RM3), premix (RM190 ke RM204), pasir halus (RM450 ke RM480) dan papan lapis (RM57 ke RM59),” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Abd. Gapar yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, inilah dilema dihadapi oleh golongan kontraktor masa kini.
“Situasi sebegini tidak kiralah sama ada projek perumahan atau projek lain, sebut harga yang kontraktor beri tempoh laku sewajarnya dalam masa yang singkat kerana bahan-bahan binaan mengalami kenaikan harga boleh dikatakan setiap minggu.
“Bagi projek-projek yang sudah ada harga tetap seperti projek perumahan syarikat perumahan negara (SPNB) wajar dikaji semula selari dengan kenaikan harga semasa.
“Jadual Kadar Harga (JKH) Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu disemak selalu dan keperluan ketika ini, tiga atau empat bulan buat penyelarasan. Untuk kaedah Pengiraan Perubahan Harga (VOP) pula, kenaikan atau penurunan harga bahan-bahan di bawah keadah ini perlu lebih realistik dengan harga yang sebenarnya diperolehi kontraktor,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar berkata, hanya 30 peratus atau 12,000 daripada 40,000 kontraktor Kelas F di negara ini yang berani melaksanakan projek perumahan ditawarkan kerajaan ekoran harga bahan binaan yang makin meningkat.
Ini kerana katanya, untuk melaksanakan projek perumahan ditawarkan kerajaan seperti rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), ia memerlukan setiap kontraktor Kelas F menggunakan modal sendiri.
“Ia berbeza dengan projek perumahan swasta yang membolehkan kontraktor meminta wang pendahuluan, tetapi tidak bagi projek ditawarkan kerajaan,” katanya.
Norhamila berkata, kenaikan harga bahan-bahan asas binaan yang tidak stabil amat membebankan golongan kontraktor kecil.
“Disebabkan kenaikan harga bahan binaan, secara tidak langsung kadar upah buruh binaan meningkat antara RM120 ke RM150 seorang berbanding bawah RM100 sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










