ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kecewaan baginda apabila ada segelintir Orang Asli yang membuka kawasan hutan simpan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.
Baginda percaya ada orang luar yang menjadi dalang dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.
“Malah, ada juga yang cuba menuntut ‘kawasan rayau’ yang tidak masuk akal. Kalau hendak diikutkan, semua yang ada di dalam dewan ini pun banyak tempat merayau.
Berita berkaitan:
“Suka saya ingatkan, walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh perlembagaan, mereka juga wajib patuh kepada undang-undang yang ada. Pencerobohan hutan adalah salah, Orang Asli juga tidak terkecuali,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini semalam.
Sultan Johor bertitah, sejak dahulu kerajaan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemberian bantuan bagi menaik taraf kehidupan mereka.
Kerajaan juga telah menyediakan kawasan penempatan Orang Asli yang lebih tersusun dengan kemudahan bekalan air dan elektrik serta kemudahan awam yang lain untuk memberikan keselesaan kepada mereka, titah baginda.-utusan











