Pemuda UMNO mesti juarai isu ‘di jalanan hingga istana’

Pemuda UMNO mesti juarai isu ‘di jalanan hingga istana’

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO baharu, Dr. Muhamad Akmal Saleh mahu memastikan ahli sayap parti itu berada di ‘jalanan hingga istana’ iaitu menjuarai isu rakyat dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, beliau tidak menjangka kemenangan besar pada pemilihan kali ini dan sedar berdepan tugas berat untuk mengembalikan semula kepercayaan orang muda kepada UMNO.

‘Saya adalah calon underdog (bukan pilihan) yang membawa suara dan aspirasi orang muda pada pemilihan kali ini. Tidak pernah terfikir (untuk menang), hanya cuba sehabis baik dan serahkan kepada perwakilan.

“Tugas itu berat dan kali ini Pemuda UMNO mesti berada dari jalanan hingga Istana. Maksud­nya, Pemuda mesti berada di setiap peringkat. Boleh duduk di jalanan, boleh hebat di antarabanga dan boleh bercakap soal ekonomi. Maka dari jalanan ke istana untuk menjuarai suara rakyat.

“Misi penting mahu kembalikan semula kepercayaan orang muda kepada parti dengan membuat perubahan dan memberi imej baharu kepada Pemuda UMNO. Sudah tentu demi sebuah pengharapan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada pemilihan Pemuda UMNO sesi 2023-2026 kelmarin. Muhammad Akmal menewaskan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah merangkap Ahli Parlimen Paya Besar; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

Ditanya faktor kemenangannya, Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka berkata, mungkin akar umbi mahu seorang pemimpin dengan idea baharu serta mempunyai bukti perkhidmatan.

“Selain itu, sudah tentu disebabkan mereka melihat seorang pemimpin kampung yang memperjuang suara orang kampung dan UMNO sendiri kebanyakan berada di kampung.

“Alhamdulillah, ini membuktikan suara di bawah mahu orang kampung juga yang mengangkat suara mereka,” ujar­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×