PETALING JAYA: Ekoran daripada kes penipuan mangsa pelaburan yang sering terjadi dalam kalangan rakyat Malaysia, ia dilihat seolah-olah tiada perincian terhadap penguatkuasaan undang-undang bagi menangani jenayah tersebut.
Sehubungan itu, Pakar Kriminologi dan Penganalisis Jenayah, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim menyarankan agar diwujudkan satu tindakan khusus bagi menyelesaikan jenayah penipuan kewangan ini.
Katanya, pelaksanaan khusus itu perlu diambil serius kerana tindakan yang hampir sama pernah diambil bagi menyelesaikan kes penipuan pelaburan sebelum ini dilihat gagal menanganinya secara berkesan.
“Saya dapati kes yang dijalankan oleh mereka ibarat bermusim dan bila ada orang yang menyuarakan kes tersebut dan selepas itu tindakan berterusan tidak diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Justeru, beliau mencadangkan agar hukuman interim perlu dipergunakan terhadap jenayah penipuan pelaburan ini agar syarikat yang mengambil kesempatan tidak akan berani memperdaya rakyat negara ini yang mudah.
Tambahnya, punca utama Malaysia dianggap lubuk scammer luar negara kerana rakyat mudah percayai sesebuah tawaran yang dikenal pasti dan tidak akan melakukan usul periksa terhadap informasi yang diterima.
Shanul Hamid berkata, beliau tidak mahu jika perkara ini berlarutan akan menyumbang kepada jumlah rakyat yang muflis akibat menjadi mangsa penipuan dan mengalami kerugian kerana tidak mendapat keuntungan pulangan seperti yang diharapkan
“Data peribadi mangsa juga akan berada ditahap bahaya dan terdedah serta mungkin akan disalahgunakan oleh pihak ketiga,” katanya
Sehubungan itu, Shanul menyeru agar rakyat perlu menyemak syarikat yang disarankan dan telah disahkan sahaja sebelum melakukan apa-apa pelaburan.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan seramai 3,000 individu menjadi mangsa penipuan syarikat pelaburan yang dipercayai berpangkalan di luar negara.
Laporan tersebut mengatakan mangsa pernipuan tersebut didakwa menanggung kerugian yang mencecah RM830 juta. – UTUSAN











