Kemenangan Radzi Jidin gagal dicabar Ahmad Faisal

Kemenangan Radzi Jidin gagal dicabar Ahmad Faisal

MOHD. RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim gagal mencabar kemenangan Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin bagi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Ahmad Faisal selaku pempetisyen dan memerintahkannya membayar kos RM20,000.

Hakim Datuk Faizah Jamaludin memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Mohd. Radzi selaku responden setelah berpuas hati petisyen itu cacat dan tidak mengandungi fakta dan butiran lengkap.

Ahmad Faisal, 50, memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu dalam usaha membatalkan kemenangan Mohd. Radzi, 46, atas dakwaan bekas Menteri Pendidikan itu memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Faizah berpendapat, pliding dalam beberapa perenggan yang terkandung dalam petisyen berkenaan tidak dilengkapi fakta yang mencukupi bagi membolehkan petisyen itu dibicarakan.

Pada hemat beliau, pempetisyen tidak memplid perkataan-perkataan yang digunakannya dalam WhatsApp Group Alumni sekolah bahawa pengundi berdaftar di kawasan itu dijanjikan wang RM150 agar mengundi responden atau dihalang mengundi calon lain di parlimen itu.

Hakim Faizah berpuas hati, pempetisyen juga tidak memplidkan sama ada Naib Presiden Bersatu itu benar-benar menjanjikan tawaran tersebut dan beliau mempunyai pengetahuan mengenainya.

Mahkamah turut berpendapat, pliding yang menyatakan individu bernama Najmi Azamuddin Abdul Abas telah menerima RM150 daripada seorang pekerja Perikatan Nasional (PN) sebagai ganjaran kerana telah mengundi Mohd. Radzi, tidak disertai fakta yang lengkap.

Beliau berpendirian, ini kerana pliding berkenaan tidak menamakan pekerja PN yang didakwa memberi wang RM150 kepada Najmi, tempat atau alamat wang diberikan atau kaitan wang itu dengan PRU15.

“Tidak cukup bagi pempetisyen jika hanya memplidkan bahawa pekerja PN didakwa memberikan rasuah kepada Najmi tanpa menyertakan butiran terperinci atau kaitannya dengan responden,” ujar beliau.

Hakim Faizah seterusnya menyatakan, bagi membuktikan kesnya, pempetisyen perlu menunjukkan amalan rasuah yang didakwa itu mempunyai kaitan dengan responden.

“Perlu ada elemen pembuktian yang menunjukkan pelantikan pekerja PN itu sebagai ejen kepada responden sewaktu menjadi calon PRU15,” ujarnya.

Ujar hakim itu, pempetisyen turut memplidkan bahawa terdapat pengundi lain yang turut diberikan rasuah namun gagal menyertakan butiran terperinci penerima-penerima tersebut, jumlah rasuah, tempat dan masa serta pihak yang memberikannya.

Mahkamah berpendirian, kekurangan fakta dan butiran lengkap dalam petisyen itu tidak memungkinkan kausa tindakan yang mewajarkan petisyen itu didengar.

“Jika sekalipun petisyen ini dibenarkan untuk dibicarakan, kekurangan fakta dan butiran lengkap tidak memungkinkan pempetisyen berjaya membuktikan kesnya,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Hakim Faizah berpendapat petisyen pilihan raya tersebut cacat kerana tidak mematuhi Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen 1954, dibaca bersama Seksyen 32(a) Akta 5. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×