Muhyiddin cabar pembekuan akaun, larangan perjalanan

Muhyiddin cabar pembekuan akaun, larangan perjalanan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan untuk mencabar pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja parti, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya selaku dan Tan Sri Mahiaddin @ Muhyiddin Md. Yasin atas kapasiti Presiden parti dan peribadi sebagai pemohon pertama dan kedua.

Permohonan difailkan semalam di Mahkamah Tinggi di sini secara dalam melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company dan akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 April ini.

Mereka menamakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud selaku responden pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai responden ialah 13 pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan terhadap Bersatu dan perlaksanaan perintah pembekuan tersebut.

Berhubung arahan pembekuan akaun Bersatu, Muhyiddin berdasarkan afidavit tersebut mendakwa, pihak parti tidak pernah diserahkan sebarang Perintah Pembekuan dan hanya mengetahuinya apabila beberapa transaksi membabitkan akaun-akaun bank parti berkenaan di Ambank dan Bank CIMB tidak dapat dilakukan.

Berdasarkan maklumat yang diterima, arahan pembekuan tersebut adalah atas arahan SPRM namun sehingga hari ini, parti berkenaan tidak pernah diserahkan sesalinan Perintah Pembekuan tersebut dan tidak dimaklumkan mengenai salah laku atau tuduhan terhadap parti berkenaan.

Pemohon mendakwa Perintah Pembekuan akaun itu adalah tidak munasabah dan akan melumpuhkan Bersatu dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sementara itu, berhubung perintah larangan perjalanan, Muhyiddin mendakwa larangan tersebut dikenakan terhadapnya oleh Jabatan Imigresen bagi mencemar nama baiknya seolah-olah Presiden Bersatu itu telah melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.

Tambahnya, beliau dikenakan perintah larangan itu sekitar 5 Mac lalu namun tiada sebarang dokumen berkaitan perintah larangan itu diserahkan kepadanya sehingga hari ini.

Muhyiddin mendakwa, larangan tersebut dikenakan terhadapnya secara salah, tanpa sebarang alasan munasabah dan tanpa diserahkan sebarang notis rasmi.

Beliau juga mendakwa larangan tersebut dikuatkuasakan terhadapnya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khuatir beliau akan menyentuh mengenai perubahan dan perkembangan politik negara ketika memberikan ucaptama di persidangan The 1st Annual Conference of Global Council for Political Renewal di London pada 14 dan 15 April ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin dan parti tersebut antara lainnya memohon pembatalan pembekuan akaun tersebut dan larangan perjalanan tersebut.

Selain itu, Muhyiddin dan Bersatu memohon agar mahkamah mengeluarkan satu perintah sementara bagi membolehkan parti itu mengeluarkan wang sebanyak RM6 juta bagi tujuan kempen sempena PRN.

Parti itu juga nenohon kebenaran untuk menggunakan wang melebihi RM1 juta daripada akaun-akaun bank mereka bagi penggunaan perbelanjaan yang diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×