Dulu dibuli, kini artis - Utusan Malaysia

Dulu dibuli, kini artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka jejaka berwajah maskulin, tinggi lampai dan berbadan cergas ini pernah dibuli suatu ketika dahulu. Muhsin Hakim Nadzli, yang kini seorang pelakon, tidak lokek berkongsi pengalamannya sewaktu dibuli kerana dirinya dianggap lemah serta berpenampilan tidak ‘menarik’.

“Waktu berada di sekolah rendah, memang kerap dibuli kerana saya seorang budak yang tidak akan melawan dan mudah menangis.

“Saya hampir dipukul oleh pelajar-pelajar sekolah kerana rupa paras tidak menarik. Namun begitu, pengalaman pahit itulah yang membentuk karakter saya sekarang,” katanya kepada Pancaindera.

Mujur, jejaka berusia 25 tahun itu mampu berfikiran positif dan menjadi orang yang lebih baik selepas berdepan dengan situasi begitu.

Memulakan perjalanan dalam industri seni setelah menamatkan pelajarannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Komunikasi Massa, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berjinak-jinak memasuki dunia lakonan dengan menjadi pelakon tambahan dan pelakon iklan.

“Dengan bantuan dan bimbingan Datuk Aznil Nawawi semasa saya menjalani latihan praktikal di organisasi bukan kerajaan, Yayasan Pesona, saya mula diberi peluang.

“Selain itu, saya juga pernah menjadi pembaca berita sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama tiga bulan pada tahun lepas namun tiada jodoh panjang dalam bidang tersebut,” jelas pelakon Pemuja Rahsia itu.

Bagaimanapun, atas usahanya yang tiada henti Muhsin berjaya memegang watak utama dalam drama Bunga Secret Garden yang disiarkan di Astro Ria.

Muhsin memberitahu, antara cabaran terbesar buat dirinya yang baru mahu menapak dalam industri ini adalah pandemik Covid-19 yang masih menular di seluruh dunia.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan penghalang saya mengejar impian untuk menjadi seorang pelakon dan pengacara.

“Sebagai pelakon, saya hanya menerima gaji setiap kali ada projek sahaja. Jadi ia merupakan waktu yang sukar apabila banyak penggambaran terpaksa dibatalkan. Nasib baik mempunyai keluarga yang masih boleh membantu dan menyokong,” jelas anak sulung daripada lima beradik itu.

Muhsin berharap, orang ramai akan terus menyokong dirinya yang masih baharu dalam bidang ini supaya boleh memantapkan kemahirannya dalam dunia lakonan.

Menjadikan Pekin Ibrahim, Beto Kusyairy dan Remy Ishak sebagai idolanya, jika berpeluang, Muhsin ingin membawa watak-watak yang pernah dilakonkan oleh mereka terutamanya watak antagonis.
“Saya ingin menguji kebolehan diri selain hanya memegang watak lelaki romantik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×