Kerajaan negeri diminta campur tangan

Kerajaan negeri diminta campur tangan, benarkan nelayan cari siput retak seribu

ABU Bakar Hamzah (kanan, berdiri) mengadakan pertemuan bersama para nelayan yang menggesa aktiviti menangkap siput dibenarkan di Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, Kangar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri diminta campur tangan dan berbincang dengan Jabatan Perikanan bagi mencari jalan membenarkan nelayan negeri ini mencari rezeki menangguk siput retak seribu di perairan Kuala Perlis di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, sampai bila mahu dibiarkan nelayan sentiasa berada dalam ketakutan setiap kali melakukan aktiviti tersebut bagi menjana pendapatan harian.

Katanya, beliau juga akan me­manjangkan isu berkenaan kepada kerajaan negeri agar satu kaedah terbaik dicapai dalam membantu nelayan-nelayan di Kuala Perlis ini.

“Kita cadangkan agar pihak berkaitan kaji balik sama ada memberikan permit kepada nelayan-nelayan melakukan aktiviti menangguk siput atau melaksa­nakan tangkapan berjadual.

“Jika tidak benarkan nelayan ini tangkap (siput) sekali pun, orang luar (nelayan luar) tetap datang menceroboh menangkap siput ini. Sebaik-baiknya benarkan nelayan negeri ini menangkap siput di perairan Kuala Perlis ini.

“Sampai bila nak biar nelayan berada dalam ketakutan setiap kali keluar menangguk siput ini sedangkan mereka mencari rezeki,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan pertemuan bersama nelayan di Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis di sini, semalam.

Dalam pertemuan bersama kira-kira 100 nelayan itu, mereka juga mengesa agar Jabatan Perikatan membenarkan aktiviti menangguk siput retak seribu di perairan Kuala Perlis ini.

Tambah Abu Bakar, beliau akan terus membawa isu berkaitan nasib nelayan Kuala Perlis ini dalam sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pertengahan Mac depan bagi mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.

Katanya, isu berkenaan bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama berlarutan yang sepatutnya diberikan perhatian dalam mem­bela nasib nelayan di Kuala Perlis.

“Di sebalik hasil laut seperti ikan dan sebagainya yang semakin merosot, hasil tangkapan siput ketika ini yang menjadi ‘penyelamat’ kepada nelayan dalam menjana pendapatan.

“Biar nelayan-nelayan ini menangguk siput tanpa perlu rasa bimbang lagi dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×