KUANTAN: Selebriti sensasi penuh kontroversi, Azwan Ali atau juga lebih popular dipanggil Diva AA sudah ‘tidak kuasa’ muncul di kaca televisyen dan tidak peduli jika terus kena gam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang sudah dua tahun tidak muncul dalam mana-mana program televisyen berkata, Allah SWT adalah pemberi rezeki yang mutlak dan tiada siapa dapat menghalang jika dikehendaki oleh-Nya.
“Saya sudah tak kuasa keluar televisyen, rezeki dari Allah SWT dan ada di mana-mana sahaja.
“Dahulu kalau stesen televisyen tidak panggil, saya terasa juga. Tapi sekarang, ada aku kisah? Apa saya cakap ini merupakan teguran.
“Jika terus kena banned oleh stesen televisyen, ada saya peduli?” Soalnya ketika ditemui dalam majlis uji rasa Ahlan Ramadan Buffet bersama Diva AA di Mari’s Buffet Cafe di sini semalam.
Diva AA berkata, biarpun sudah dua tahun tidak keluar televisyen, perjalanan seninya tidak sepi.
“Saya masih dapat jemputan untuk majlis tertutup sehingga ke Singapura, biarpun tidak keluar televisyen namun karier seni saya tetap diteruskan.
“Cuma bezanya, tidak keluar televisyen sahaja. Saya tiada masalah kerana rezeki saya masih ada dan tidak tertutup,” katanya.
Azwan yang sinonim dengan ayat see my level dalam pada itu berkata, permintaan jualan rendangnya juga sentiasa mendapat sambutan hangat daripada peminat.
“Saya juga masih menjual rendang seperti biasa dan menerima permintaan tinggi sehingga hari ini.
“Alhamdulillah, rendang saya boleh dikatakan sudah tular dan semakin dikenali ramai,” katanya. – UTUSAN










