PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Sarah Liyana menaruh harapan besar agar dirinya ‘dilepaskan’ dengan cara baik oleh suaminya, Syamsul Yusof, hari ini.
Tidak mahu dirinya dibebani masalah dan kekusutan dalam hubungan sebagai suami dan isteri, Puteri Sarah mahu meneruskan kehidupan dengan tenang bersama anak-anak.
“Saya memang hendak 100 peratus dilepaskan dan harap pihak sana (Syamsul Yusof) permudahkan. Saya tak nak lama-lama seperti ini lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Puteri Sarah yang nekad dengan keputusan itu berkata, dia sudah menunaikan solat istikharah ketika menunaikan umrah bagi memohon petunjuk dari Allah SWT.
“Kadang-kadang memang kita tak dapat petanda melalui mimpi. Namun, bila kita hendak buat keputusan dan dipermudahkan Allah SWT, hati rasa tenang dan tidak berdebar, maka itulah petunjuk terbaik bagi saya,” katanya.
Ditanya hubungan dengan mentua, Puteri Sarah berkata, dia berjanji segala keputusan yang berlaku hari ini tidak akan menjejaskan sebarang hubungan dengan mereka.
Katanya, keluarga mentua juga sangat memahami dan menyokong segala keputusan terbaik dalam hidupnya selama ini.
“Mereka juga tahu dan faham. Walaupun berat untuk mereka lepaskan saya, tapi saya berjanji untuk menjaga hubungan baik dan tidak akan memisahkan cucu-cucunya. Keputusan ini tidak akan mengubah apa-apa keadaan sekali pun, saya tetap datang ke rumah mentua seperti biasa,” jelasnya.
Berhubung hak penjagaan anak kelak, Puteri Sarah berkata, dia akan menyerahkan urusan tersebut kepada peguam untuk berbincang dengan pihak Syamsul.
Katanya, Syamsul juga sedia maklum dirinya akan menjaga kedua-dua zuriat mereka.
“Kalau saya ada penggambaran, keluarga saya atau mentua akan bergilir-gilir jaga anak. Hubungan saya dengan keluarga mentua juga sangat baik,”
Hari ini merupakan detik penentuan selepas Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan hari sebutan kes bagi permohonan cerai antara Syamsul dan Puteri Sarah. – UTUSAN










