TAIWAN keluasan negaranya hanya 36,193 kilometer persegi. Jumlah penduduk 23 juta orang. Kawasan muka bumi Taiwan yang boleh dicucuk tanam hanya 23 peratus atau sekitar 812,000 hektar.
Makanan ruji penduduk Taiwan sama seperti Malaysia iaitu nasi. Sebab itu, negara itu memastikan mereka dapat menghasil beras mencukupi bagi menampung keperluan penduduk.
Berdasarkan Statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Pertanian Taiwan, pada tahun 2020 keluasan sawah di negara itu adalah kira-kira 166,000 hektar, iaitu sekitar 7.5 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan tanah pertanian.
Daripada kawasan seluas itu mereka menghasilkan kira-kira 1.14 juta tan metrik beras setahun dengan purata hasil 5.6 tan sehektar.
Dengan jumlah pengeluaran beras tersebut ia cukup untuk membolehkan Taiwan berdikari dalam membekalkan makanan ruji kepada penduduknya. Kadar sara diri beras di Taiwan stabil pada kira-kira 96 peratus. Bermakna, negara berkenaan mengeluarkan beras yang mencukupi untuk memenuhi hampir semua permintaan domestiknya. Baki empat peratus beras yang diimport sekadar untuk menambah bekalan domestik. Kebanyakan beras yang diimport ini daripada varieti istimewa yang tidak dihasilkan di Taiwan.
Malah Taiwan turut mengeksport berasnya yang berkualiti terutama ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Bagi negara kecil seperti Taiwan yang diancam oleh jirannya iaitu China, keselamatan makanan sentiasa diberi keutamaan. Dengan keluasan tanah untuk pertanian yang terhad kerajaan mereka melakukan pelbagai inisiatif supaya mempunyai bekalan beras mencukupi tanpa perlu bergantung kepada negara luar.
Setiap inci tanah yang boleh menghasilkan beras untuk rakyatnya akan dimanfaatkan sepenuhnya.
Kita di Malaysia juga berhadapan dengan isu keselamatan makanan. Bekalan makanan kita termasuk beras banyak bergantung kepada import. Setiap tahun nilai import makanan kita bertambah.
Pada 2015, Malaysia import makanan bernilai RM45.3 bilion. Jumlah itu meningkat sebanyak 22.3 peratus pada 2020 kepada RM55.4 bilion. Saban tahun nilai import makanan ini terus meningkat.
Sedangkan jika dibandingkan dengan Taiwan, semenanjung Malaysia sahaja lebih luas dari negara pulau itu. Itu belum campur keluasan Sabah dan Sarawak. Kawasan sawah kita jauh lebih besar dari Taiwan. Walaupun segala-galanya lebih besar tetapi pengeluaran makanan kita kecil. Tidak mampu menampung 100 peratus keperluan domestik.
Taiwan hanya mempunyai 166,000 hektar kawasan yang ditanam padi dan mampu mengeluarkan 1.14 metrik tan beras setahun. Purata 5.6 tan sehektar cukup untuk keperluan penduduknya.
Malaysia mempunyai kawasan yang ditanam dengan padi seluas 684,416 hektar, menghasilkan 1,876,922 metrik tan beras setahun. Purata hanya empat tan sehektar dan tidak cukup untuk menampung keperluan penduduk. Kita terpaksa import kira-kira 30 peratus lagi untuk memastikan beras mencukupi untuk keperluan penduduk.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Malaysia sebenarnya memiliki 10 kawasan yang digelar jelapang padi. Sudah tentu yang terbesar adalah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Sembilan lagi adalah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kerian, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Barat Laut Selangor, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Seberang Perak, Kawasan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang, Kawasan Pembangunan Terengganu Utara (KETARA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pekan dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Rompin.
Namun, 10 kawasan jelapang padi itu gagal membekalkan beras yang mencukupi untuk negara hingga terpaksa import.
Isu yang berkaitan keselamatan makanan terutama beras ini bukan baharu. Ia selalu diperkatakan. Malah kerajaan sendiri telah melancarkan pelbagai program. Benih padi juga sudah bermacam-macam jenis dihasilkan. Subsidi tidak perlu cakap.
Pada hujung tahun 2021, dua lagi benih padi dilancarkan iaitu IS21 dan MR315 yang dikatakan mampu menghasilkan sembilan tan metrik sehektar. Jika menggunakan benih baharu ini mampu menghasilkan sembilan tan matrik sehektar bermakna dengan kawasan jelapang padi yang ada kita mampu menghasilkan kira enam juta tan padi setahun. Ini sudah lebih daripada keperluan tempatan, malah mampu dieksport.
Tetapi sudah masuk tahun kedua benih itu dilancarkan kenapa tidak digunakan secara meluas? Dengan keupayaannya menghasilkan padi yang banyak kenapa tidak ditanam di semua sawah yang ada di negara ini?
Atau pelancaran benih padi itu sekadar syok sendiri demi memenuhi jadual organisasi kerajaan terbabit?
Ini masalah utama di negara kita apabila bercakap mengenai keselamatan makanan. Semua orang bercakap mengenainya daripada menteri sampai ke bawah. Tetapi tidak siapa pun yang mengambil serius.
Sebab itu, hasil padi di kawasan MADA merosot lebih 150,000 tan. Keluasan sawah padi di Kemubu pula makin merosot. Sawah bendang yang menjadi tanah terbiar juga makin membiak.
Sedangkan kita ada berpuluh agensi yang bertanggungjawab tentang pertanian. Namun, kita berterusan berhadapan dengan kekurangan bekalan makanan domestik.
Namakan, agensi pertanian apa yang tidak ada di Malaysia ini? Tetapi ia hanya ada pada nama dan atas kertas. Kita ada Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di bawah subsektor padi yang menyasarkan peningkatan purata hasil padi per hektar daripada 3.5 tan metrik kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Kita ada banyak idea, banyak inisiatif, tetapi tidak ada satu pun yang benar-benar sampai ke akar umbi. Sebab itu, dalam isu padi, para pesawah lambat dapat benih, baja dibekalkan di luar musim, sistem tali air ada yang sudah tersumbat dengan semak samun dan lain-lain lagi.
Jika semua pihak serius dan ikhlas rasanya kita tidak perlu import makanan kerana sumber kita banyak dan luas.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










