SERDANG: Prihatin terhadap nasib yang menimpa lebih 32,000 mangsa banjir di Johor, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan peruntukan RM50 juta sebagai dana bantuan khas.
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu disediakan dengan segera bagi memastikan ia memenuhi keperluan mendesak ketika mangsa menghadapi banjir, selain ia juga turut disediakan bagi tujuan pelebaran sungai.
“RM50 juta segera untuk Johor, sungai, bantu mangsa banjir dan apa-apa keperluan yang segera,” katanya kepada pemberita selepas selesai solat Jumaat di Masjid Universiti Putra Malaysia, di sini semalam.
Anwar berkata, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan dan memantau perkembangan semasa serta bertemu mangsa banjir dalam masa terdekat.
“Beberapa menteri turun hari ini dan esok sebahagian akan turun dan saya (bertemu mangsa) akan diatur dalam masa singkat,” katanya.
Selepas empat hari dilanda banjir, jumlah mangsa di Johor mencatatkan sedikit penurunan menjadi 32,719 orang daripada 9,253 keluarga yang ditempatkan di 217 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 33,149 orang daripada 9,354 keluarga direkodkan pada pukul 8 pagi tadi.
“Jumlah mangsa banjir di Segamat terus meningkat, iaitu seramai 12,221 penduduk daripada 3,518 keluarga diikuti Kluang dengan 5,178 orang, Johor Bahru (1,218) dan Pontian (372).
“Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi turut berkurangan menjadi 3,369 orang berbanding 3,689 yang direkodkan pagi tadi. Turut berkurangan, jumlah mangsa banjir di Kulai daripada 630 menjadi 471 orang.
“Jumlah mangsa banjir di Mersing tidak berubah dengan seramai 722 orang, diikuti Batu Pahat (4,340), Muar (2,829) dan Tangkak (1,999),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, setakat tengah semalam sebanyak 26 PPS di tujuh daerah telah ditutup selepas keadaan banjir di kawasan terbabit beransur surut.
Setakat ini, bencana banjir melanda negeri ini telah mengorbankan tiga nyawa, iaitu K. Sarathkumar yang menetap di Kluang dan Lee Amo Yee serta Tan Sue Ke di Segamat.
Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula menunjukkan sebahagian besar negeri ini berada di bawah amaran hujan berterusan, manakala Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian pula menunjukkan amaran waspada.
Sebanyak 13 sungai turut diletakkan di bawah kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Kesang, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Johor,” katanya.
Kelmarin, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membeli peralatan dan bantuan tambahan untuk membantu mangsa banjir di Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan tersebut diberikan untuk menampung keperluan di semua daerah yang terjejas dan jumlah itu akan ditambah sekiranya tidak mencukupi. – UTUSAN











