‘Siapa kita untuk buat kerja Tuhan?’ - Utusan Malaysia

‘Siapa kita untuk buat kerja Tuhan?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP yang berkahwin pasti menyimpan impian untuk memiliki zuriat sendiri. Itu kegembiraan dan nikmat rezeki yang diidamkan semua. Begitu juga dengan pasangan selebriti, Adam Lee dan Sweet Qismina.

Namun, sudah namanya rezeki, semuanya telah tertulis oleh Yang Maha Esa. Siapa kita untuk menidakkan perkara itu. Sebagai manusia, apa yang mampu kita lakukan adalah usaha, selain tidak putus berdoa.

Bagi Adam, dia dan isteri sama sekali tidak merancang bila untuk mendapatkan zuriat. Mereka berdua menyerahkan perkara itu kepada Tuhan. Ada atau tidak, lambat atau cepat, Dia adalah sebaik-baik perancang.

“Perkahwinan ini indah. Saya kahwin bukan untuk setahun dua. Saya mahu bersama dengan Sweet sampai akhir usia. Jika ditakdirkan Tuhan memberikan rezeki anak awal, Alhamdulillah saya gembira.

“Tetapi andai kata, selepas lima tahun masih tiada zuriat, saya dan isteri tidak berkecil hati. Allah adalah sebaik-baik perancang. Kami tidak merancang, kalau ada Alhamdulillah. Tetapi jujur, sekarang belum ada rezeki lagi,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober lalu.

Sudah namanya pengantin baharu, pasti soalan sama akan selalu diterima. Tetapi sama ada Adam atau Sweet, mereka lebih senang menerima semuanya dengan reda. Asakan soalan itu tidak membebankan.

“Saya selalu berpesan pada diri, ada yang sudah berbelas tahun mendirikan rumah tangga masih belum dikurniakan zuriat. Mungkin ada yang diberikan anugerah awal, itu rezeki mereka. Alhamdulillah. Ini bukan satu trend untuk kita terkejar-kejar.

“Ini kerja Tuhan. Kita tidak perlu buat kerja Tuhan. Siapa kita untuk mempersoalkan tentang rezeki. Jika belum ada, usaha dan berdoa. Jangan merendahkan seseorang kerana rezeki Tuhan yang beri,” jelas Adam.

Sementara itu, ditanya bagaimana dia menjalani kehidupan berumah tangga, Adam tersenyum sipu. Jelas kebahagian sedang memeluk dirinya dan isteri. Namun resmi hidup berdua, kadang kala pasti ada sesi ‘bercakaran’.

“Tipu kalau tidak ada. Mestilah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Tetapi, saya dapat rasakan perbezaan ketika bercinta, bertunang dan menjadi suami isteri. Kalau dulu, ego mungkin tinggi kerana terlalu ikutkan jiwa muda.

“Tetapi, apabila sudah berkahwin, kita tahu tanggungjawab. Kita sedar tugas seorang suami itu bagaimana. Saya sendiri sedang belajar, pada masa sama, berusaha mengawal emosi dan ego.

“Kalau dulu kita hidup seorang, sekarang tanggungjawab berlipat kali ganda. Saya adalah ketua keluarga. Komunikasi sangat penting dan dalam apa juga perkara, kami selalu berbincang,” katanya.

Tonton Anugerah Drama Sangat 2023

Tersenarai dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 menerusi drama Budak Tebing 3, Adam sejujurnya tidak meletakkan harapan tinggi. Dia tahu, adat pertandingan, pasti ada kalah dan menang.

Malah, melihat senarai calon lain dalam kategori itu, pelakon berusia 28 tahun itu mempunyai tekaan tersendiri siapa yang bakal membawa pulang anugerah tersebut.

Namun, kata Adam, segala-galanya terserah kepada kuasa undian peminat.

“Jujur, saya seram tengok senarai pencalonan itu. Bayangkan ada nama besar seperti Fattah Amin, Syafiq Kyle, Alif Satar, Aedy Ashraf, Meerqeen dan ramai lagi. Memang peluang untuk menang samar-samar.

“Tipulah kalau saya tidak letak harapan walaupun sekelumit, tetapi semua itu kita serahkan kepada pengundi. Mereka yang memilih pemenang. Nak buat orang suka bukan mudah, jadi bila tercalon saya sangat bersyukur.

“Kalau tengok senarai pencalonan, sudah boleh agak siapa yang akan menang. Tetapi sekali lagi, ini semua bergantung pada rezeki. Semua orang mempunyai peluang sama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×