Latihan industri bukan kerja lewa - Utusan Malaysia

Latihan industri bukan kerja lewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM seminggu melapor diri, sudah merungut mahu berhenti dan menukar lokasi latihan industri.

Hal itu kerana ada pelatih yang tewas dengan tugasan diberikan penyelia, lantas mahu segera berpindah ke organisasi lain.

Alasan berkenaan mungkin biasa bagi penuntut yang baru merasai situasi sebenar alam pekerjaan, namun hakikatnya, agak menjengkelkan majikan dan dibimbangi memberi gambaran negatif terhadap kualiti graduan di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sikap ambil mudah itu secara tidak langsung turut menjejaskan imej institusi pendidikan tinggi (IPT) kerana gagal mendidik pelajar.

Pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Muhammad Fakhruddin Ahmad berkata, latihan industri menjadi medan terbaik untuk pelajar membina rangkaian dengan pelbagai pihak dan meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian kelak.

Malah, ujarnya, pendekatan itu pada masa sama dapat menajamkan daya fikir pelajar dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang memerlukan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran tinggi.

Bagaimanapun, katanya, masih ramai yang tidak menyedari kepentingan tersebut dan menganggap latihan industri sekadar pelengkap pengajian semata-mata untuk lulus sahaja.

Akibatnya, pelajar menjalani latihan industri tanpa persediaan di samping memilih organisasi secara semberono.

“Malah, ada juga pelatih yang tidak berpuas hati kerana tugasan semasa sesi latihan industri berbeza atau tiada kaitan dengan kursus yang diambil

“Pelajar perlu faham yang mereka tidak hanya ditempatkan dalam jabatan atau
dengan skop pekerjaan sama bagi memberi peluang me-nimba semaksimum mungkin pengalaman sepanjang tempoh latihan industri,” katanya.

Muhammad Fakhruddin berkata, tempoh latihan industri bagi pelajar universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej kemahiran adalah antara tiga hingga enam bulan.

Beliau yang juga Pegawai Perhubungan dan Latihan Industri menjelaskan, budaya hanya menunggu diberikan kerja perlu dikikis, sebaliknya pelajar disaran mencari
peluang untuk belajar dan memperbaiki diri sepanjang sesi latihan industri.

“Sikap positif beginilah yang dicari bakal majikan. Jika pelajar sentiasa menampilkan imej sedemikian, maka pasti mereka akan ditawarkan pekerjaan tetap di organisasi itu,” katanya.

Menurut Muhammad Fakhruddin, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan adalah tinggi dalam kalangan graduan kini justeru, aspek kemahiran insaniah yang diperoleh semasa latihan industri boleh menjadi nilai tambah kepada pelajar untuk diambil bekerja.

Katanya, pelajar yang tidak pernah keluar dari tempurung keselesaan mungkin akan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri, namun, itu bukan noktah untuk berputus asa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini