SUNGAI PETANI: Kira-kira 1,000 penduduk di Taman Semarak Fasa 2 di sini, mendakwa masalah bekalan air yang dialami mereka sejak 20 tahun lalu semakin teruk sejak awal Februari lalu.
Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Semarak Fasa 2, Omar Che Long berkata, sebelum ini masalah air hanya berlaku pada waktu malam sahaja iaitu bermula pada pukul 8 malam hingga 4 pagi.
Namun katanya, masalah tersebut kini semakin serius apabila bekalan air sudah terputus pada waktu siang iaitu bermula pukul 7.30 pagi hingga 2 pagi.
“Jika dahulu kami masih boleh berdiam diri kerana air hanya tiada pada waktu malam ketika penduduk tidur, tapi kini masalah ini berlaku pada waktu siang juga menyebabkan aktiviti harian penduduk terjejas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Fasa 2, Sungai Petani. – FOTO/NUR SYAZWANA MANSOR
Tambahnya, pihak KRT sebelum ini telah beberapa kali menghubungi Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk memaklumkan mengenai masalah tersebut, namun tiada sebarang langkah penyelesaian yang dilakukan pihak SADA setakat ini.
“Alasan yang mereka berikan adalah kawasan perumahan ini berada di kedudukan tinggi menyebabkan tekanan air tidak sampai ke paip rumah penduduk.
“Kami juga dimaklumkan bahawa bekalan air di kawasan perumahan ini disalurkan daripada tangki yang terletak di Kampung Padang, Sungai Pasir sudah semakin berkurang akibat musim kemarau,” jelasnya.
Seorang penduduk, Azman Abdullah, 62, berkata, masalah air kebiasaannya akan berlanjutan selama tiga bulan menyebabkan penduduk mula gelisah sekiranya terpaksa berdepan masalah terbabit sehingga menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.
“Walaupun SADA ada menghantar lori air kepada penduduk, namun waktu penghantarannya tidak menentu selain penduduk tidak dimaklumkan terlebih dahulu untuk bersedia mengambil air,” ujarnya.
Ang Teau Hock, 63, pula berkata, mereka mahu kerajaan negeri memandang serius masalah air yang dialami penduduk ketika ini memandangkan tiada sebarang tindakan serius yang diambil oleh SADA meskipun masalah ini sudah lama berlaku.
“Kita minta pihak kerajaan sendiri yang ambil tindakan mengenai masalah ini supaya penduduk dapat hidup dengan aman tanpa masalah air.
“Bayangkan jika berlaku kebakaran di kawasan yang tiada air, sudah pasti keadaan ini akan menjadi semakin teruk lagi,” ujarnya. – UTUSAN










