Rumah sudah rosak, kunci belum dapat

Rumah sudah rosak, kunci belum dapat

PARA peserta PPR Seri Jerlun memegang sepanduk memohon pihak berwajib membantu menyelesaikan masalah status pemilikan mereka yang belum berpeluang menduduki perumahan itu di Jerlun, Kedah. – FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Penerima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Jerlun, Ayer Hitam di sini, merayu pihak berkaitan mempercepat proses serahan unit rumah bagi membolehkan mereka mendu­duki kediaman masing-masing.

Ini kerana, peserta projek ber­kenaan mendakwa, PPR yang mempunyai 630 buah rumah itu siap sejak Julai 2019, namun kini diumpamakan ‘rumah tinggal’ ekoran pelbagai kerosakan termasuk infrastruktur di situ.

Seorang penerima, Siti Hasnah Saad, 58, bimbang kelewatan tersebut bakal mengakibatkan dia hilang kelayakan untuk mendapatkan pinjaman pem­biayaan bank.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah empat tahun tunggu, bila rumah siap tak boleh duduk lagi. Kami tak tahu di mana silapnya. Keadaan rumah pun sudah semakin teruk kerana rosak sana sini sebab kawasan ini jadi sasaran penagih dadah.

“Kalau tunggu lama saya takut pinjaman pun susah dapat sebab umur sudah lanjut,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pejabat.

Sebanyak 150 peserta PPR ber­­kenaan berhimpun di kawa­san perumahan tersebut sema­lam ba­gi melahirkan kekecewa­an ter­hadap masalah ke­le­watan itu.

Mohd. Azmi Othman, 39, mem­beritahu, kegembiraannya terpi­lih sebagai peserta projek perumahan berkenaan lebur setelah rumah mereka kini semakin ‘musnah’ di depan mata.

“Saya cabut undi pada Julai 2021 dan sekarang sudah 2023 masih belum dapat duduk rumah lagi. Rumah banyak rosak sebab lama sangat terbiar. Kami minta penjelasan daripada ba­nyak pihak tetapi semua ‘ten­dang’ kami ke sana sini.

“Kami semua bukan orang senang, kategori golongan B40 sahaja. Saya sekarang masih menyewa RM400 sebulan dan harap sangat masalah ini selesai dalam masa terdekat ini,” kata pemandu jentera berat itu.

Sementara itu, Nor Syakini Md. Desa, 44, berkata, dia dan suaminya, Sarif Zalnom Sarif Abidin, 47, terkilan kerana rumah yang dibeli secara tunai RM42,000 itu belum berpeluang mendudukinya.

“Suami keluarkan duit simpanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) untuk beli rumah ini. Kami sudah bayar habis tetapi sampai sekarang tidak tahu bila boleh tinggal di sini, kunci pun belum dapat.

“Kami harap sangat ada pi­hak yang sudi membantu kami semua. Kami bukan orang se­nang,” katanya.

Bagi pekerja am, Mohd. Norizan Mohd. Nor, 39, peserta PPR itu merasa seperti teraniaya apabila kebajikan mereka terbiar tanpa pembelaan.

“Banyak urusan pemilikan tidak selesai lagi, rumah pun semakin rosak. Ada yang dapat kunci tetapi tak boleh duduk sebab elektrik tak ada, lampu jalan pun tak ada,” katanya.

Katanya, mereka juga pernah membuat permohonan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Kerajaan Pusat untuk campur tangan isu berkenaan, namun masih belum memperoleh apa-apa maklum balas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini