KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memberikan rating lima daripada 10 terhadap pengumuman Belanjawan 2023 kerana masih terdapat kelompangan dalam membantu rakyat yang kihi dibelenggu kos sara hidup.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, justeru itu pihaknya akan mengadakan perbincangan pada minggu depan bagi memutuskan sama ada untuk menyokong atau sebaliknya Belanjawan 2023.
Malah katanya, blok pembangkang agak kecewa kerana belanjawan itu tidak menyalurkan peruntukan sama rata kepada negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN).
“Berhubung peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen pula, boleh jadi ada, boleh jadi tiada. Perkara ini tidak disebut secara jelas oleh Perdana Menteri.
“Pada saya ada ruang untuk tambahbaik pada perbahasan pada minggu depan. Oleh itu kami akan menyatakan sikap pendirian sama ada setuju atau tolak pada minggu depan,” katanya ditemui pemberita di Parlimen hari ini.
Ahmad Fadhli kemudian berkata, meskipun pengumuman belanjawan itu menyentuh soal ketirisan, ia tidak menyebut 1MDB yang menjadi punca utama hutang negara.
Dalam nada sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad bimbang langkah menstruktur semula entiti ekonomi Bumiputera seperti diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, perkara itu tidak jauh seperti mana hasrat bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng yang mahu melaksanakan perkara tersebut.
Selain itu, beliau kecewa terhadap Belanjawan 2023 yang dilihat menganaktirikan negeri pembangkang.
Ujarnya, meskipun secara keseluruhan pengumuman itu agak baik namun ia memerlukan penambahbaikan ketika perbahasan minggu depan.
“Pada hujung minggu ini, kami akan mengadakan Retreat Ahli Parlimen PN untuk menyemak setiap ikhtiar belanjawan ini,” katanya. – UTUSAN










