Dolla hapus prejudis - Utusan Malaysia

Dolla hapus prejudis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH digelar sebagai The PKP Princesses, kumpulan Dolla berupaya membuktikan kehadiran mereka dalam industri muzik bukan sekadar penyeri.

Ketika ramai anak seni terjejas susulan pandemik Covid-19, tiga tahun lalu, siapa sangka, era ‘kegelapan’ itu sebenarnya membuka peluang cerah buat Dolla untuk mencipta nama.

Dolla membuktikan mereka tidak hanya popular, malah mampu berdiri setanding artis berkumpulan wanita berpengaruh lain.

Meskipun sudah menempa kedudukan selesa, ramai mahu melihat empat anggota kumpulan yang terdiri daripada Sabronzo, Angel, Syasya dan Tabby ini menempatkan diri mereka di persada antarabangsa.

Barangkali, masih ada yang skeptikal dengan sasaran mereka, namun tidak salah menggantung harapan setinggi langit.

Sepanjang bertatih membina nama, Dolla membuktikan mereka tidak bercakap kosong apabila meraih pelbagai kejayaan dalam industri muzik.

Tahun lalu, Dolla melakar sejarah tersendiri apabila menjadi artis ketiga dari Malaysia selepas Yuna dan Layla Sania muncul di papan iklan digital tersohor di New York Times Square, Amerika Syarikat.

Difahamkan, ia adalah bagi kempen EQUAL oleh pelantar penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

Tidak hanya itu, Dolla juga berbangga kerana graf kerjaya seni mereka terlakar cantik apabila meraih Anugerah Platinum, Best Selling Single menerusi lagu Impikan yang distrim lebih 200,000 penggemar muzik.

Nilai tambah buat Dolla apabila diundang menjayakan Seen Festival in Kuala Lumpur 2023, baru-baru ini yang menyaksikan mereka berkongsi pentas dengan bintang K-Pop terkemuka seperti NCT Dream, WayV, KARD dan ALICE.

Mengakui berbangga dengan pencapaian mereka, Sabronzo melihat semua itu tidak akan berlaku sekiranya tidak mendapat kepercayaan pelbagai pihak, terutama label dan peminat.

Kalau ditanya sama ada kami mempunyai formula tertentu untuk memastikan nama melonjak, terus terang memang tidak ada. Tetapi, kami percaya, kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil kerjasama dan sinergi hebat daripada semua pihak yang terlibat.

“Kalau tiada yang percaya dengan bakat kami, Dolla tidak akan pernah wujud. Impian saya, Tabby, Angle dan Syasya mungkin tinggal sekadar impian.

“Kami berempat bermula dari bawah dan siapa sangka, akhirnya kami berupaya mengukir nama sebagai artis berkumpulan yang dikenali ramai,” katanya.

Sementara itu, Angel pula berkata, dia terharu dengan sambutan yang diterima Dolla sejak mereka mencuba nasib dalam industri hiburan, tiga tahun lalu.

Kini, kata Angel, semakin ramai yang menerima lagu yang mereka hasilkan tanpa prejudis.

“Ketika awal kemunculan dahulu, kami juga tidak dapat lari daripada disamakan dengan artis wanita berkumpulan lain. Macam-macam yang telah kami tempuh, termasuk dikecam dari pelbagai penjuru.

“Tetapi, satu yang kami pegang ialah tetap teguh menghasilkan karya yang bagus, selain memperbaiki kelemahan yang ada demi peminat yang telah lama menyokong.

“Kami percaya, karya yang bagus dapat menarik hati peminat dan pendengar. Disebabkan itu, kami tidak bermain-main dalam menyusun perjalanan kerjaya. Setiap kali membuat kemunculan single baharu, kami akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Tambah Angel, apa yang membuatkan mereka terharu apabila muzik yang dibawakan Dolla mencipta magis tersendiri dengan menyatukan peminat dari pelbagai peringkat usia dan bangsa.

“Situasi itu memberikan kami lebih semangat setiap kali mahu keluarkan sesuatu karya. Kami tahu, lagu kami tidak hanya didengari satu kelompok sahaja. Ada juga peminat kami yang berbangsa Cina semakin suka mendengar lagu Melayu disebabkan karya Dolla.

“Bagi saya, itu sesuatu yang positif. Diharapkan ia dapat terus dikekalkan,” katanya.

Look At This, buah tangan baharu

DIAJAK berbicara mengenai buah tangan terbaharu mereka, Look At This, Tabby berkata, lagu yang mendapat sentuhan komposer dari Sweden itu berbeza daripada karya yang mereka hasilkan sebelum ini.

Menurut Tabby, Dolla terbuka bekerjasama dengan pemuzik dari luar dan ia bukan kali pertama memandangkan debut mereka menerusi lagu Impikan juga merupakan hasil karya komposer Sweden.

“Look At This boleh dikatakan berbeza sedikit dengan lagu yang telah dihasilkan sebelum ini. Kami sangat berbesar hati mendapat khidmat komposer dari Sweden untuk lagu ini. Ia ditulis dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan kepada bahasa Melayu.

“Malah, koreografi tarian untuk lagu ini juga lebih berat kepada unsur hip-hop. Kami masih menggunakan khidmat Ezra Tham dan penari dari UNC Dance Studio untuk membimbing kami dari aspek koreografi.

“Untuk video muzik pula, kami bekerjasama dengan Ghazi yang sudi mendengar pendapat kami demi mencari kelainan. Kami bersyukur kerana sangat mudah bekerja dengan semua orang,” katanya.

Menurut Tabby lagi, Look At This menceritakan tentang keyakinan yang harus ada pada diri seseorang.

“Ia menyentuh tentang keyakinan diri dan tidak perlu mempedulikan kata orang lain. Lagunya yang rancak memberi gambaran tentang keperibadian seseorang yang yakin dengan penampilan diri.

“Malah ada bait lirik yang berbunyi: Kau pandang di sini mata memerhati, but I ain’t even worried about that. Itu antara yang menarik bagi saya.

“Kebanyakan lirik dalam lagu ini membuatkan kami jadi sangat bersemangat,” katanya.

Berkongsi mengenai pembikinan klip video, Sabronzo menjelaskan, ia agak mencabar kerana mereka perlu menyiapkannya dalam tempoh sehari.

“Namun disebabkan cuaca buruk, tempoh penggambaran terpaksa dilanjutkan. Kami terpaksa mengumpul tenaga dan bersengkang mata selama 28 jam untuk menyiapkannya.

“Syukur, semuanya telah selesai dan kami berpuas hati dengan hasil akhir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×