PRN: PH, BN boleh lupakan Kelantan, Terengganu?

PRN: PH, BN boleh lupakan Kelantan, Terengganu?

MESKIPUN gabungan BN dan PH berlawan dengan PN secara satu dengan satu, mereka dijangka tidak mampu menggoncang kedudukan kerajaan Pas Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tioman, namun mereka nampaknya tidak mampu menentang gelombang hijau Perikatan Nasional (PN). Jikalau kedua-dua keputusan pilihan raya itu dijadikan petunjuk arah bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang untuk keenam-enam negeri, penyokong PH mungkin akan mengundi BN, tetapi penyokong BN mungkin tidak akan mengundi PH dan undinya barangkali beralih kepada PN.

Tampuk pemerintahan di Terengganu ditawan semula oleh Pas dalam pilihan raya umum (PRU) 2018. PH nampaknya tidak mempunyai harapan yang cerah untuk menang di Terengganu dalam PRN akan datang.

Dalam PRN lepas, daripada 32 kerusi dipertandingkan, PH hilang wang deposit bagi 29 kerusi. UMNO pula hanya memperoleh 10 kerusi. Jika undi diperoleh PH dan BN dicampurkan, UMNO masih berpeluang mengalahkan Pas dalam tujuh kerusi lain. Secara teorinya, BN masih berpeluang kembali berkuasa di Terengganu. Namun, jika ditinjau daripada keputusan PRU15, peluang menang kerajaan BN dan PH di Terengganu adalah tipis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Kelantan, PH hilang kebanyakan wang deposit bagi pertandingan kerusi DUN dalam PRU lalu. PH hanya memperoleh undi yang lebih tinggi daripada BN dalam satu kerusi dan menduduki tempat kedua. Jikalau PH dan BN bergabung, mereka berpeluang menang dalam kerusi tersebut.

Dalam PRU15, PH hilang wang deposit bagi 12 daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan. Keadaan ini menyebabkan kuasa pengaruh PH runtuh sama sekali di Kelantan. Oleh hal demikian, walaupun gabungan BN dan PH berlawan dengan PN secara satu dengan satu, dijangka PH dan BN tidak mampu menggoncang kedudukan PN ataupun lebih tepat lagi, kerajaan Pas Kelantan.

Berikutan beberapa pemimpin UMNO keluar parti atau dilucutkan jawatan dan kekalahan dalam PRU15, UMNO di Kelantan diibaratkan tiada ketua rumah.

Di Kedah pula, selepas peristiwa ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Februari 2020, empat ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan keluar dari gagasan PH. Pada masa sama, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR keluar parti dan menyokong PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Maka PH hanya tinggal 13 ADUN di Kedah dan kerajaan negeri pimpinan PH tumbang sama sekali. Kemudiannya, gabungan Pas (15 kerusi) dan Bersatu (6 kerusi) membentuk kerajaan PN dan memerintah Kedah sehingga sekarang.

MENANG MUDAH

Pada zahirnya, Pas dan Bersatu berjaya merebut 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah dalam PRU15. Namun, setelah PH dan BN bergabung membentuk kerajaan perpaduan di Persekutuan, diikuti keputusan PRU dan PRN di Johor dan Melaka yang lebih cenderung kepada PH dan BN, maka PH dan BN berkemungkinan dapat menjatuhkan PN dan mengambil semula tampuk perintah di Kedah. Dalam PRU lepas, UMNO hanya mendapat tiga kerusi manakala 11 kerusi lain kalah kepada Pas dengan bilangan undi sedikit sahaja. Dengan bantuan PH, UMNO mungkin dapat meraih beberapa kerusi lagi dalam PRN akan datang.

Tampuk perintah PH di Negeri Sembilan kekal kukuh selepas ‘Langkah Sheraton.’ Hal demikian ini disebabkan tiada apa-apa kerusi DUN yang dimenangi Bersatu dan Pas dalam PRN lepas.

PH mengutip 20 kerusi di Negeri Sembilan pada PRN lalu, iaitu DAP 11 kerusi, PKR enam kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) tiga kerusi. Bagi parti pembangkang (BN) pula, UMNO mendapat 15 kerusi manakala MIC mendapat satu kerusi. UMNO bertanding 21 kerusi tetapi kalah enam kerusi. Nampaknya UMNO masih merupakan parti yang kuat di Negeri Sembilan. Yang menjadi perhatian ialah UMNO menang kesemua lima kerusi Parlimen dalam PRU15. Jikalau UMNO dan PH bergabung dalam PRN akan datang, tampuk perintah Negeri Sembilan pasti dalam tangan PH dan BN.

Di Pulau Pinang, berdasarkan pembahagian dan struktur pengundi di setiap kawasan pilihan raya, DAP dan PKR masing-masing mendapat lebih daripada setengah jumlah undi dalam tiga kali PRN lepas, maka PH dijangka menang mudah dalam PRN akan datang.

Namun, dalam PRU15, PN tiba-tiba muncul sebagai pesaing utama kepada PH di 12 kerusi Parlimen. Potensi menang PN tidak boleh dipandang remeh. Walaupun begitu, PN masih amat bergantung kepada parti komponennya, Gerakan untuk mengatasi kerajaan PH di Pulau Pinang. Namun, Gerakan telah kecundang di Pulau Pinang sebanyak tiga kali berturut-turut dalam PRU lalu termasuk PRU15. Oleh itu, kerjasama antara PH dan BN semasa PRN di Pulau Pinang nanti pasti dapat mengatasi kuasa PN dengan mudah.

Semasa PRU14, PH berjaya mengutip 51 daripada 56 kerusi DUN di Selangor, iaitu PKR 21 kerusi, DAP 16 kerusi, Amanah lapan kerusi dan Bersartu enam kerusi. UMNO pula hanya mendapat empat kerusi dan Pas satu kerusi. Jika UMNO bekerjasama dengan PH, selain bertanding di lima kerusi yang dalam pegangan UMNO, sembilan kerusi yang dahulunya diperuntukkan kepada Bersatu oleh PH pada PRU lalu mungkin boleh diserahkan kepada UMNO untuk bertanding. Bagi UMNO di Selangor, mereka amat memerlukan sokongan PH agar partinya dapat terus hidup.

Dalam PRU15, PN sekali gus mengutip enam kerusi Parlimen di Selangor. Tambahan lagi, jumlah undi diperoleh PH dalam enam kerusi yang dimenanginya tidak melebihi separuh daripada jumlah undi. Maka, PH mula merasai ancaman persaingan yang hebat daripada PN. – UTUSAN

Dr. Tee Beng Lee ialah lulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang sejarah dari Universiti Xiamen (XMU), China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×