Nazri mahu perkukuh hubungan Malaysia-AS

Nazri mahu perkukuh hubungan Malaysia-AS

MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH


MAHU memperkukuhkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) menjadi keutamaan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dilantik sebagai Duta Malaysia ke negara itu. Jelasnya, beliau tidak mahu memikirkan kritikan yang dilemparkan terhadap pelantikan beliau, sebaliknya teruja untuk memulakan tugas.
Bersama Wartawan Utusan Malaysia, SAYED HESHAM IDRIS, Mohamed Nazri menjawab kritikan terhadapnya dalam wawancara di Padang Rengas, Perak semalam.

 

UTUSAN: Bila akan memulakan tugas sebagai Duta?
MOHAMED NAZRI: Sekarang saya bukan ahli politik, saya seorang diplomat. Saya ada menteri, iaitu Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan saya sudah menjadi seorang anggota pentadbiran di bawah Kementerian Luar Negeri dan saya hanya menunggu arahan sahaja. Bila-bila boleh berangkat, asalkan diputus dan diarahkan oleh kementerian.

Apa tugas utama sebagai Duta di sana nanti?
Kita tengok surat peribadi daripada Presiden AS, Joe Biden yang ditandatangani sendiri oleh beliau telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, jadi maknanya mereka terima baik. Jadi ini adalah kerajaan yang mendapat mandat rakyat, bukan kerajaan tebuk atap lagi, sebab itu diterima baik di seluruh dunia, Turkiye pun sama. Saya memang gembira dan tidak sabar untuk menjalankan tugas saya dan merapatkan hubungan akrab dan baik dengan AS.

Kemungkinan Presiden AS lawat Malaysia?
Ini kita akan tengok, biar kita sampai ke sana dahulu kerana ini bukan kerja mudah. Yang penting saya mahu Perdana Menteri kita terlebih dahulu pergi ke sana mungkin sebelum UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) kerana saya percaya bukan sahaja AS tetapi juga seluruh dunia semua menunggu-nunggu impak kehadiran PM (Perdana Menteri) kita dalam lawatan ke AS. Itu harapan saya kerana sudah tentu impak yang paling kuat sekali ialah berucap di PBB, yang akan berlaku pada September dan menjadi harapan saya kalau boleh PM menjadi pengucap dalam UNGA.

Daripada ahli politik kini bergelar Duta, apa yang dirasai sekarang?
Saya fikir sudah sampai masanya (berundur daripada politik) kerana saya pun sudah umur 69 tahun pada Mei ini. Saya telah buat keputusan pada Jun 2021. Saya putuskan untuk hijrah kepada satu bidang yang lain, bidang yang kurang kepartian, yang membuat kerja untuk negara.

Saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, terima kasih kepada PM atas pelantikan ini. Saya rasa teruja, seronok sangat kerana bidang ini tidak perlu berkonfrontasi, bidang ini bidang untuk berbuat baik dengan negara-negara lain. Sebab itu kritikan terhadap pelantikan saya ibarat gigitan nyamuk sahaja, lebih daripada itu, saya pernah hadapi.

Apa pertimbangan utama pelantikan ini?
Menjadi duta ini bukan merupakan periuk nasi, ini me­rupakan keperluan. Kadang kala kita terpaksa melantik orang luar dari Kementerian Luar kerana keperluan.

Mungkin Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) fikirkan kekosongan ini sudah lama dan perlu satu revamp dalam hubungan kita dengan AS iaitu negara yang pa­ling penting dari segi hubungan diplomatik.

Merasakan perlu ada political input sedikit, ada elemen politik sedikit, keberanian sedikit, kebijaksanaan, mungkin dirasakan pada ketika itu perlu lantik saya. Ini bukan soal gaji tapi tanggungjawab. Saya rasa boleh dua tiga tahun lagi memberi sumbangan kepada kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×