PUTRAJAYA: Sejumlah RM312.5 juta nilai akaun bank dibekukan milik individu dan syarikat kerana disyaki menyalahgunakan perniagaan untuk menjalankan aktiviti haram serta pengubahan wang haram.
Pembekuan akaun itu termasuk milik rakan kongsi perniagaan, keluarga dan syarikat subsidiari yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa kononnya ‘menyucikan’ duit yang diperoleh akibat pelanggaran undang-undang di bawah akta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN).
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, keuntungan atau jualan daripada barangan atau perniagaan perolehan haram itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun perniagaan atau individu.
Ini termasuk dengan cara membeli aset atau membuat pelaburan, membayar pinjaman, insurans dan lain-lain cara untuk menutup aliran tunai kegiatan haram itu.
“Terdapat juga cara pindahan keuntungan atau jualan daripada barangan atau perniagaan (perolehan haram) itu tidak dibayar secara terus sebaliknya dibayar secara pertukaran wang asing dan lain-lain cara yang mana melibatkan rentas sempadan,” katanya di sini semalam.
Menurut Azman, nilai pembekuan akaun itu meliputi 56 kes sejak 2016 hingga akhir tahun lalu melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak 33 kes, Akta Perihal Dagangan 2011 (15 kes), Akta
Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 (lima kes) dan dua kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, selain satu kes Akta Cakera Optik 2000.
Beliau berkata, pihakya telah menyita keseluruhan akaun dan harta alih lain berjumlah RM211.1 juta dan melucuthak akaun dan harta RM58.02 juta.
Azman berkata, RM70.72 juta berjaya dipulihkan untuk dijadikan hasil kepada Kerajaan Malaysia melibatkan kes denda di mahkamah dan kompaun. – UTUSAN









