PUTRAJAYA: Setiap pembelian vaksin Covid-19 dalam tempoh pandemik bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dibentangkan di Kabinet dan dalam pengetahuan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, malah semua keputusan perolehan dibawa ke Kabinet, oleh itu AGC didedahkan perkara-perkara berkaitan termasuk kos yang terlibat.
“AGC memberi ulasan mereka. Semua perolehan telah ditandatangani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Semua pembelian dibawa ke Kabinet.
“Bagaimanapun, saya perlu tahu apa butiran (dakwaan) kerana ia terlalu umum untuk diulas,” katanya di sini semalam.
Beliau mengulas pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung terdapat keraguan dalam perolehan vaksin Covid-19 dan kos berkaitan ketika tempoh pandemik.
Anwar berkata, menteri-menteri yang terlibat dipercayai menandatangani pembelian vaksin itu ketika tempoh pandemik bagi tujuan PICK tanpa persetujuan AGC, tidak mengikuti peraturan dan transaksi yang diluluskan juga tidak mematuhi proses sebenar.
“Sebahagian perolehan vaksin menimbulkan persoalan berhubung angka dan kos dan perkara ini perlu dibentangkan di Parlimen. Jadi, menteri-menteri yang terlibat perlu menjawab atau memberi penjelasan,” kata Anwar.
Dalam hal itu, Anwar berkata, Kementerian Kesihatan akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 dan kos berkaitan yang dikesan tidak mengikuti peraturan dalam sidang Parlimen bermula 13 Februari ini.
Semua perbelanjaan bagi program pemberian vaksin kepada rakyat melalui PICK adalah berjumlah RM5.8 bilion.
Pada Julai tahun lalu, Khairy yang ketika itu merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberitahu Parlimen bahawa semua dokumen perjanjian vaksin dan butiran perbelanjaan termasuk harga vaksin bagi PICK bernilai RM5.8 bilion telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK turut memaklumkan, jumlah RM5.8 bilion itu merangkumi RM4.8 bilion disalur kepada KKM dan RM1 bilion disalurkan kepada MOSTI.
Jelas Khairy, selain PAC, bagi memastikan ketelusan perbelanjaan pengurusan PICK, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI telah memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Sains dan Inovasi. – UTUSAN











