Tanpa etika, peguam umpama langau

Tanpa etika, peguam umpama langau

PENULIS (berdiri, enam dari kiri) semasa menjalani long call sebelum ditauliahkan sebagai peguam secara rasmi pada 2011.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TIADA peguam bela dan peguam cara sepatutnya menerima arahan dalam kes, di mana dia tahu atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kelakuan profesionalnya sendiri berkemungkinan akan dipertikaikan.” – Peraturan 4, Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Etiket) 1978.

Tidak sangka, pejam celik sudah 12 tahun saya beramal dalam profesion undang-undang. Profesion elit ini telah banyak mendewasakan saya. Saya berterima kasih kepada ramai mentor atas setiap pengajaran mereka sepanjang beramal.

Begitu juga kepada para peguam yang saya kenali, sama ada sebagai rakan sepasukan semasa mengendalikan kes mahupun pihak lawan yang menjengkelkan kerana mereka juga banyak menyedarkan peripenting etika dan ketelusan dalam pembentukan integriti seorang peguam.

Ilmu yang masih saya cuba pelajari sehingga ke hari ini. Tanpa etika, kesopanan dan integriti, peguam dalam amalan ini tidak lebih daripada langau yang merosakkan daging yang baik. Diberikan tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan memelihara keadilan, ada pula peguam yang ingkar amanah. Meskipun saya amat kesal dengan hakikat ini, namun sudah lumrah manusia, di mana sahaja tentu ada yang baik, ada pula yang buruk.

Jadi, suka untuk saya mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan seperjuangan dalam amalan ini agar kembali kepada amanah yang dipilih untuk diletakkan sendiri di pundak masing-masing. Tiada sesiapa yang memaksa mana-mana orang untuk menjadi peguam. Begitu juga, tiada sesiapa yang memaksa mana-mana peguam untuk menerima kes yang bercanggah dengan pendirian dirinya.

Malah, banyak peraturan dalam Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Etiket) 1978 mengingatkan peguam tentang tanggungjawab mereka memelihara kebebasan profesional diri. Maka, selepas seseorang peguam memilih untuk mengambil arahan daripada mana-mana anak guam dan memulakan pengendalian kes yang diberikan, wajarlah peguam itu berlaku adil.

Dalam menyampaikan amanah ini, seharusnya peguam itu mengimbangi antara pemeliharaan hak anak guam yang diwakili dengan kehormatan sistem keadilan itu sendiri. Takut nanti jika kita gagal untuk belajar menundukkan nafsu dan ego bagi mengagungkan kedaulatan undang-undang, kegagalan ini akan memakan diri.

ONAR

Sebagai seorang peguam, sudah tentu malu yang paling besar adalah jika nama kita dipotong daripada daftar peguam bela dan peguam cara setelah diterima masuk ke dalam amalan perundangan. Malu yang bukan sedikit jika ada yang melaporkan tindakan kita kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara, Majlis Peguam untuk diselidiki.

Di hadapan panel nanti, setiap keputusan profesional kita akan disiasat dan baik buruk kualiti perkhidmatan yang kita berikan akan dihakimi. Bagai memakai baju pinjaman jika peguam yang seharusnya bijak berhujah untuk kepentingan anak guam terpaksa diseret ke hadapan panel tatatertib untuk berhujah membela dirinya sendiri pula.

Jika tidak takut dengan tindakan disiplin di bawah Lembaga Tatatertib, takutlah kita dengan janji Allah kepada mereka yang mendustai amanah. Dalam surah al-Anfal 8:27, Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Janganlah dengan sewenang-wenangnya kita memperkecilkan amanah di pundak masing-masing, lalu menganggap diri sudah kalis daripada panasnya neraka yang dijanjikan sebagai balasan orang yang ingkar amanah. Sehingga berani pula kita hadir ke mahkamah dan dengan angkuh melakukan pelbagai onar.

Ada yang kini tidak segan melanggar peraturan melarang promosi atau pemasaran profesion dan firma mereka, maka berjogetlah mereka keranjingan. Ada pula peguam yang bukan main bongkak memperlakukan pengendalian kes mengikut sedap tembolok masing-masing sehingga habis segala macam saksi dijerkahnya di mahkamah. Ilmu yang berat di benak sepatutnya mendidik diri untuk menunduk, bukannya dijadikan lesen untuk menampung berat keangkuhan.

Ada yang megah hadir ke mahkamah hanya untuk menarik diri daripada pengendalian kes ketika saat getir anak guam memerlukan pembelaan.

Ingatlah, setiap kali kita menyarungkan jubah hitam ke badan dan mengikat tali bands di leher masing-masing, representasi pakaian ini bukanlah untuk kelihatan masyhur di media sosial, tetapi hanyalah untuk mengingatkan amanah yang dikandung badan.

Saya sering meluat apabila ada orang, khususnya para peguam yang menggelar bands di leher mereka sebagai bib. Seolah-olah apa yang dipakai mereka layak untuk kanak-kanak yang baru belajar makan.

Sedangkan bands itu mewakili simbolisme yang sangat berat. Bands dengan sengaja dicipta bersama dua jalur putih – satu bagi mengingatkan peguam tentang undang-undang yang dicipta sesama manusia dan satu jalur lagi untuk mengingatkan perintah Tuhan yang diturunkan kepada manusia. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×