BEGITU cepat masa berlalu sejak Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang bersejarah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Januari lalu. Paling besar impak PAU 2022 adalah kelulusan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Walaupun usul ini diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan dalam Dewan Merdeka, mulanya ada keributan bila sesetengah pihak masih mempertikaikannya. Aduan dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) oleh ahli UMNO Kuala Nerus dan Seremban, Muhammad Aizat Fikri Mohd. Nasir dan Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.
Bagaimanapun, pada 31 Januari lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan tiga individu lain menemui Ketua Pengarah RoS, Mohd. Nawardi Saad dan timbalannya. Dalam pertemuan itu, dijelaskan bahawa tidak ada pelanggaran peraturan mesyuarat ataupun perlembagaan parti berlaku sewaktu usul tambahan tersebut diluluskan.
Kini kelulusan usul tambahan tersebut tidak lagi menjadi isu dan sudah semakin hampir dilupakan dengan RoS dijangka memberi keputusan muktamad mengenainya selepas ini.
Isu ini segera dibayangi oleh tindakan pembersihan besar-besaran dalam parti yang dijanji dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam PAU 2022. Ini berlaku dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Januari lalu bilamana mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu diambil tindakan.
Bekas Ahli Parlimen Rembau merangkap bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan pula digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun.
Sekali lagi keributan berlaku dengan pihak-pihak yang terkesan dan penyokong mereka mengkritik tindakan ini dengan mendakwa ia tidak dibuat mengikut proses dan prosedur yang betul. Bagaimanapun, penjelasan dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil bahawa tindakan sebegitu adalah sah bila ia diperakukan dan dipersetujui oleh MKT.
Contoh terbaik adalah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang waktu itu merupakan Timbalan Presiden UMNO daripada menjadi ahli parti yang dibuat oleh MKT pada 2 September 1998. Tidak seperti Anwar yang bila dipecat segera diikuti tindakan keluar parti beramai-ramai oleh pengikut beliau, tidak ada pengikut Khairy dan Noh bertindak sama.
Tiada gelombang penentangan nyata dapat dilihat ke atas pemecatan dan penggantungan tersebut yang boleh menjejaskan dengan teruk kekuatan UMNO seperti pada 1998.
Pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah juga masih jauh, dianggarkan akan hanya berlangsung selepas Jun ini. Oleh itu, masih ada banyak masa untuk UMNO memperkuatkan parti dalam tempoh ini. Kesan jika Khairy dan Noh menyertai parti pembangkang dalam PRN juga tidaklah besar.
MUSUH DALAM SELIMUT
Dalam konteks kerajaan perpaduan, keputusan diambil oleh UMNO di bawah kelolaan Ahmad Zahid adalah langkah tepat dalam mengukuhkan parti, seterusnya kerajaan. Bila musuh dalam selimut tiada, barulah reda kebimbangan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan cuba ditarik keluar dari kerajaan perpaduan dan fokus dapat ditumpu untuk memerintah.
Pemimpin PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) termasuk Anwar sendiri sebagai rakan kongsi UMNO dalam kerajaan perpaduan juga bertindak bijak menangani isu dalaman UMNO ini. Sebagai rakan dalam kerajaan, mereka nampak sensitif dan tidak terburu-buru untuk mengalu-alukan pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung keahlian ke dalam parti mereka.
Dan sepatutnya perlu ada gentlemen agreement atau persefahaman rasmi bahawa parti yang membentuk kerajaan tidak boleh mencuri atau mengambil ahli dan bekas ahli parti rakan. Ini kerana hubungan sesama parti dalam kerajaan boleh menjadi tegang dan rapuh jika pemimpin dipecat atau digantung oleh parti rakan diterima menjadi ahli parti lain.
Sehubungan ini, ahli UMNO juga berasa lega bila Anwar menunjukkan semangat setiakawan tinggi ke atas Ahmad Zahid yang dipersoalkan atas pertuduhan rasuah sedang dihadapinya. Kenyataan Anwar dalam satu temu ramah dengan Bloomberg di Singapura baru-baru ini bahawa Ahmad Zahid mesti diberi peluang untuk diadili oleh mahkamah yang bebas dan tidak berat sebelah.
Anwar sendiri sudah berkali-kali melalui episod diadili oleh mahkamah yang tidak bebas dan berat sebelah. Jadi, kenyataan begini menunjukkan beliau menjunjung tinggi prinsip keadilan. Masa sama, keputusan mahkamah menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal membuktikan tiada campur tangan dalam badan kehakiman.
Ahli-ahli UMNO dalam pada itu sudah mula sibuk dengan pemilihan jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat cawangan mulai 1 hingga 26 Februari. Seterusnya pemilihan jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat bahagian bersama pemilihan Exco-Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat pada 11 Mac.
Kemuncaknya akan berakhir dengan pemilihan jawatankuasa bahagian bersama pemilihan ahli MKT secara serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini.
Ini bukti demokrasi masih subur dalam UMNO dan ruang untuk setiap ahli yang layak untuk menawarkan diri merebut jawatan lain selain Presiden dan Timbalan Presiden terbuka luas.
Lebih meyakinkan masa depan UMNO bila pemimpinnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, baru-baru ini dilantik sebagai Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia. Ia bersekali dengan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik serta Jawatankuasa Komunikasi Strategik Sekretariat.
Kesemua ini terhasil daripada kelebihan jelas yang ada pada Ahmad Zahid, iaitu berani menggunakan kuasa dan ini dijangkakan membawa sinar baharu kepada UMNO. – UTUSAN
DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia.










