PETALING JAYA: “Saya dan isteri sedang tidur semasa gempa bumi pertama berlaku iaitu pada sekitar 4 pagi, terus bangun dengan perasaan panik. Kami mendengar jeritan-jeritan orang di sini serta bunyi runtuhan bangunan”.
Itu merupakan gambaran seorang mangsa gempa bumi di Turkiye yang juga merupakan warganegara Malaysia, Nik Mohd Dhiya’ Nik Mohd Rosdi, 34, semasa bercakap kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, ketika kejadian tersebut sekiranya beliau bersama isteri, Merve Ataş, 30, terlambat tiga saat sahaja kemungkinan untuk terkandas dan tidak dapat menyelamatkan diri daripada gelombang gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Turki serta utara Syria itu.
“Ini gempa bumi paling teruk pernah terjadi dalam sejarah Turkiye iaitu selepas tragedi sama pada tahun 1999. Memang tidak tahu nak gambarkan kejadian macam mana, hati dipenuhi pelbagai perasaan sehingga saya blur kerana terjadi semasa saya tidur.
“Di tingkap rumah saya, dengar bunyi bangunan di sekeliling runtuh macam kita menjemur kain di ampaian tetapi tidak mengepit ia elok-elok, jadi ia akan terus jatuh ke tanah.
“Begitu juga dengan bangunan, ia sangat sekejap. Jika kami terlambat tiga saat memang akan menerima ajal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, media melaporkan, ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan di Turkiye dan Syria apabila gempa bumi kuat melanda tenggara Turkiye pada awal pagi, kelmarin.
Gempa bumi terburuk dalam tempoh lebih 100 tahun di Turkiye itu turut meranapkan puluhan bangunan di beberapa bandar dan menyebabkan kerosakan teruk di negara jiran, Syria.
Menceritakan lebih lanjut, Mohd. Dhiya’ berkata, selepas berjaya menyelamatkan diri dan isteri daripada gelombang pertama itu, beliau terpaksa menyelinap masuk semula ke dalam kediamannya yang sudah ada retakan besar kerana perlu menyelamatkan dokumen-dokumen penting.
“Dalam waktu Subuh iaitu dalam pukul 6 pagi, kami terpaksa beranikan diri atau ‘berani mati’ untuk ke rumah semula bagi menyelamatkan dokumen-dokumen yang sangat perlu diselamatkan.
“Nasib baik rumah di tingkat dua sahaja dan dalam waktu singkat untuk mengambil dokumen itu juga kami buat perkara yang perlu seperti buang air kerana diluar tiada tandas boleh digunakan, ambil jaket sejuk lebih, selimut dan sebagainya,” katanya.
Menurut Mohd. Dhiya’, setakat ini tiada warganegara Malaysia yang tinggal di Turkiye terkandas atau tidak selamat daripada kejadian gempa bumi itu dan mereka sendiri juga sedang menunggu perkembangan dari semasa ke semasa.
Jelasnya, ia disahkan melalui ketua persatuan mereka sendiri dan kedutaan Malaysia di Turkiye juga sudah menghubungi warganegara yang tinggal sana.
“Di kediaman saya iaitu di Sanliurfa ada dua warganegara Malaysia sahaja iaitu seorang perempuan dan beliau juga sempat menyelamatkan diri. Di kawasan lain juga ada warga tempatan kita, mereka juga selamat Alhamdulilah,” jelasnya.
Kini beliau dalam perjalanan Istanbul menaiki kapal terbang untuk menetap sementara di rumah mentuanya.
“Saya dan isteri akan duduk di sana dahulu, dalam seminggu dua dan selepas keadaan kembali tenang baru akan pulang ke rumah kembali bagi mencari barangan-barangan penting atau diperlukan lalu kemudiannya baru pindah ke rumah baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Turkiye (MASAT), Muhammad Adib Nor Azman berkata, pelajar Malaysia yang terkesan dengan kejadian gempa bumi masih tidak dapat pulang kediaman masing-masing kerana keadaan yang tidak stabil
“Setakat ini kami persatuan ada menghubungi pelajar-pelajar yang terlibat dengan kejadian tersebut secara berkala kerana situasi di sana masih belum stabil.
“Kami juga mendapat makluman pelajar Malaysia di sana masih belum boleh pulang ke rumah mereka dan hanya tidur di masjid bersama masyarakat Turkiye yang lain.
“Mereka ketika terakhir dihubungi oleh MASAT dikabarkan sedang membuat persiapan untuk bergerak ke Ankara bersama guru mereka,” katanya.
Malah, seorang pelajar Malaysia di Universiti Fatih Sultan Mehmet Vakıf, Muhammad Syakir Mohd. mengesahkan kumpulan pelajar di Instabul selamat daripada kejadian gempa bumi tersebut.
“Kami semua di Instabul tidak merasai apa-apa gegaran kerana kejadian gempa bumi tersebut jauh lebih kurang 1,000 kilometer daripada sini. Jadi Alhamdulilah masyarakat Malaysia di sini selamat,” ujarnya. –UTUSAN










